
KUALA LUMPUR – Demi memastikan sasaran emas pertama sukan Olimpik tercapai, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said ‘turun padang’ dengan mengetuai sendiri jawatankuasa persediaan kontinjen negara ke Olimpik 2008 di Beijing.
Fungsi jawatankuasa tersebut ialah memantau rapi persediaan atlet ke Beijing terutama latihan, pemakanan, penggunaan sains sukan dan juga aspek pemarkahan ketika beraksi di negara tembok besar itu.
‘‘Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa ini dan akan dibantu oleh para pegawai dari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN).
‘‘Mereka ini akan dibantu oleh tiga lagi ahli lembaga pengarah yang nama-namanya akan saya umumkan kemudian,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melawat MSN Bukit Jalil, di sini, semalam,
Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan Ketua Kontinjen negara ke Beijing 2008, Datuk Ho Koh Chye.
Menurut Azalina, dia akan mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut minggu depan bagi mencari pendekatan dan pengagihan tugas unit-unit di bawah jawatankuasa itu bagi melancarkan persiapan ke Olimpik.
Katanya, jawatankuasa itu juga akan memantau segala isu yang mungkin menjejaskan persediaan atlet negara ke sukan terbesar itu.
‘‘Ini termasuk aspek pemarkahan yang tidak adil yang sering berlaku dalam acara-acara subjektif yang boleh menafikan hak atlet kita daripada meraih markah yang baik dalam acara-acara yang mereka sertai.
‘‘Bagi isu tersebut, kita akan mengadakan perbincangan kaedah terbaik bagi mengatasinya,’’ ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, tiada lagi ‘bajet mewah’ kepada persatuan-persatuan sukan di negara ini sebaliknya hanya persatuan yang mempunyai pencapaian cemerlang berhak mendapat peruntukkan yang mereka harapkan.
Menurutnya, ini bagi memastikan hanya persatuan atau atlet yang telah membuktikan keupayaan mendapat pembiayaan sewajarnya.
‘‘Kita tidak mahu lagi berlaku kes di mana ada persatuan yang memperoleh peruntukkan sehingga berjuta ringgit tetapi tidak mencatat apa-apa kejayaan.
‘‘Selagi saya menjadi Menteri yang bertanggungjawab jawab dalam hal ehwal sukan saya akan memastikan pemberian peruntukkan (kepada persatuan) berdasarkan merit.
‘‘Mana-mana persatuan sukan yang mahu peruntukkan yang besar, mereka mestilah menghasilkan pencapaian yang cemerlang terlebih dahulu,’’ katanya.
Utusan
No comments:
Post a Comment