Friday, August 29, 2014

Xie-Xie Nanjing' Atas Kejayaan Penganjuran YOG 2014



NANJING, 28 Ogos (Bernama) -- 'Xie-Xie Nanjing' dalam bahasa Mandarin yang bermaksud 'Terima Kasih Nanjing' adalah ucapan yang paling sesuai diberikan kepada kerajaan China kerana berjaya menganjurkan Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua yang menutup tirai secara rasminya, malam ini.

Upacara meriah dan penuh warna-warni pada majlis penutup YOG 2014 yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik Nanjing itu dihadiri lebih 62,000 penonton yang memenuhi stadium yang menjadi mercu tanda penduduk Nanjing.

Acara dimulakan dengan tepukan gemuruh oleh semua penonton apabila Perdana Menteri China Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach masuk ke pentas utama.

Ia diikuti dengan acara beramai-ramai mengira detik membabitkan atlet, pegawai, sukarelawan dan penonton sebagai simbolik berakhirnya cabaran pemburuan pingat di YOG 2014 yang berlangsung mulai 16 Ogos.

Majlis diteruskan dengan upacara memperkenalkan kontinjen dan perarakan masuk 204 bendera negara yang mengambil bahagian pada temasya yang diadakan empat tahun sekali itu.

Upacara diteruskan dengan persembahan lagu kebangsaan China oleh China People's Liberation Army (PLA) Military Band dan diikuti dengan ucapan penutup Presiden Jawatankuasa Penganjur YOG Nanjing 2014 Li Xueyong yang berharap mutu penganjuran dan pencapaian atlet dapat dipertingkatkan pada penganjuran berikutnya.

Kemuncak majlis adalah upacara menurunkan bendera kejohanan iaitu bendera Olimpik dengan berlatarbelakangkan lagu rasmi sukan Olimpik dan kemudiannya diikuti dengan penyerahan bendera Olimpik kepada tuan rumah YOG 2018, Argentina.

Majlis kemudiannya diserikan dengan tayangan video mengenai Argentina sebagai tuan rumah YOG kali ketiga pada 2018 nanti serta persembahan kreatif bertajuk 'Youth in Full Bloom' yang menceritakan sejarah, kebudayaan dan kejayaan masyarakat warga kota Nanjing bermula daripada zaman pemerintahan Destinasi Ming hingga ke hari ini.

Malaysia yang diketuai oleh ketua kontinjen negara, Wong Pei Tty berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak serta satu pingat gangsa.

Pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei meraih pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa, penerjun pelapis negara, Loh Zhiayi menyumbang perak dalam acara 10m platform individu serta gangsa dalam acara 3m papan anjal individu wanita.

Sementara itu, pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli meraih pingat perak acara recurve campuran antarabangsa.

Kejayaan tersebut sekali gus mengatasi pencapaian kontinjen negara pada edisi pertama YOG di Singapura empat tahun lepas, apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng hanya membawa pulang dua pingat perak.

Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar seramai 20 atlet yang mengambil bahagian dalam sepuluh daripada 28 acara sukan yang dipertandingkan.

Acara sukan tersebut ialah akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo, dan ekuestrian.

Walaupun tiada istilah kutipan pingat rasmi disediakan oleh penganjur di YOG 2014, China sebagai tuan rumah mendominasi kutipan pingat sejak hari pertama kejohanan apabila mengakhiri cabaran dengan mengumpul 64 butir pingat iaitu 38 pingat emas, 13 pingat perak dan 13 pingat gangsa, mengatasi pencabar terdekat iaitu Russia yang membawa pulang 57 pingat iaitu dengan pecahan 27 pingat emas, 19 pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Sementara itu, Argentina yang akan menjadi tuan rumah bagi YOG edisi ketiga pada 2018 pula mengutip satu pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa.

Berbeza dengan temasya sukan besar lain, mengikut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan atlet berkenaan.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments: