Pingat Perak dari Loh Zhiayi dalam acara 10m platform pada temasya @nanjing2014yog Tahniah! #MalaysiaBoleh pic.twitter.com/HEbtNv6sDY
— Man Olimpik (@ManOlimpik) August 23, 2014
NANJING (China), 23 Ogos (Bernama) -- Kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua mula mendapat rentak dalam pemburuan pingat selepas meraih sebutir pingat perak menerusi penerjun wanita negara pada hari ketujuh temasya itu di sini hari ini.
Loh Zhiayi berusia 16 tahun berjaya menaiki podium dalam acara 10m platform individu dengan kutipan 450.65 mata, sekali gus menyumbang pingat kedua negara selepas pemain badminton Cheam June Wei merangkul pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa semalam.
Dalam acara ekuestrian, wakil negara M. Praveen Nair, yang menunggang kuda 'Arkansas', hanya sekadar menduduki tempat ke-17 daripada 27 peserta pada pusingan pertama acara Jumping.
Kem olahraga negara turut beraksi lesu apabila atlet lompat tinggi Norshafiee Mohd Shah hanya menduduki tempat kelima dengan lompatan setinggi 2.03m pada aksi final kategori B.
Mohd Rizzua Haizad Muhamad pula mencatatkan 13.90s dalam acara 110m lari berpagar untuk menghuni tempat pertama pada aksi final kategori C.
Bagaimanapun, menurut peraturan YOG 2014, hanya atlet yang beraksi di pusingan akhir kategori A sahaja layak memburu pingat.
Atlet gimnastik negara Jeremiah Loo Phay Xing terlepas peluang untuk meraih pingat dalam acara akhir gimnastik disiplin kuda berpelana lelaki selepas menduduki tempat tercorot dengan mengumpul 12.866 mata.
Sementara itu, semua acara perahu layar yang dijadualkan di Tasik Jinnju hari ini terpaksa dibatalkan ekoran cuaca buruk.
Tuan rumah China kini mendahului carta pungutan pingat dengan 18 emas, lapan perak dan 11 gangsa, diikuti Rusia dengan 11 emas, 10 perak dan lapan gangsa.
Esok, kontinjen negara akan memneruskan cabaran dalam acara pelayaran, memanah, olahraga, ekuestrian dan gimnastik.
Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment