NANJING, 21 Ogos (Bernama) -- Kontinjen negara masih gagal meraih sebarang pingat pada hari kelima kejohanan Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) namun perenang pelapis negara, Yap Siew Hui, menafikan para atlet tidak berusaha dan hanya datang melancong atau 'makan angin' di Nanjing.
Yap berkata beliau dan rakan-rakan sepasukan menyedari tugas dan misi besar menggalas cabaran negara dan mereka berusaha gigih untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia ini walaupun banyak perenang bertaraf dunia daripada 205 buah negara turun beraksi di sini.
Negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Vietnam dan Singapura telah pun meraih sekurang-kurangnya satu pingat.
Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada atlet pelapis yang beraksi di temasya sukan remaja terbesar dunia ini dengan alasan bahawa YOG 2014 merupakan kejohanan yang kompetitif dan bertaraf tinggi.
Yap yang beraksi dalam acara 100m kuak kupu-kupu wanita Khamis hanya berjaya berada di tempat kelima dengan catatan masa 1:02.96s dan gagal memperbaharui catatan rekod peribadi 1:01.71s yang dilakukannya pada kejohanan 50th MILO/PRAM Invitational Age Group, Kuala Lumpur pada April lepas.
Perenang berusia 16 tahun itu berkata mereka sudah berjuang habis-habisan, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Yap berkata banyak pengalaman berguna yang dapat dipelajarinya sepanjang berada di Nanjing, dan beliau merasa bertuah kerana dapat memperoleh ilmu baharu setiap hari bagi memperbaiki mutu persembahannya pada masa akan datang.
Rakan senegara, Lim Ching Hwang yang beraksi dalam acara 100m gaya bebas lelaki, turut menduduki tangga kelima dengan catatan masa 51.64s.
Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment