Wednesday, August 20, 2014

Atlet Ekuestrian Negara Di Olimpik Remaja Nanjing Mula Serasi Dengan Kuda Tunggangan

NANJING, 19 Ogos (Bernama) -- Atlet ekuestrian pelapis lelaki negara, Praveen Nair Mathavan yang beraksi pada pusingan pertama, acara show jumping berpasukan di Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) di sini berpuashati dengan persembahan kudanya, Arkansas.

Arkansas telah mula menunjuk keserasian pada hari pertama acara itu di YOG 2014 edisi kedua yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Xinzhuang dekat sini hari ini.

Praveen yang diletakkan dalam kumpulan Australasia bersama empat penunggang lain iaitu Jake Hunter dari Australia yang menunggang kuda For The Star, Chiang Lennard dari Hong Kong dengan kudanya DJ, Fraser Emily dari New Zealand bersama kudanya Exilio dan Saeed Kalantari dari Iran yang menunggang kuda Cristallo.

Pasukan Eropah terdiri daripada Itali, Ireland, Britain, Sweden dan Netherlands menduduki tempat teratas pusingan pertama bagi acara show jumping, diekori pasukan Amerika Selatan (Uruguay, Chile, Paraguay, Argentina dan Brazil) dan pasukan Amerika Utara (Cayman Islands, Equador, El Salvador, Guatemala dan juga Republik Dominica).

Beliau berkata pasukannya menduduki tempat kelima daripada lapan pasukan yang mengambil bahagian dalam pusingan pertama.

"Saya yakin kami mampu memperbaiki kedudukan pada aksi pusingan kedua esok kerana kami pasukan Australasia diwakili oleh beberapa penunggang yang hebat,"katanya.

Praveen berkata beliau berharap dapat membantu pasukannya esok memandangkan kudanya, Arkansas menunjukkan reaksi positif hari ini apabila dilihat cergas dan mampu berlari laju.

Pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, Kuala Lumpur itu beraksi di YOG 2014 dengan tiket kumpulan A apabila berjaya mempersembahkan aksi cemerlang pada Kejohanan Kelayakan Olimpik Remaja dan Fei World Jumping Challenge di Bukit Kiara tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments: