Thursday, August 9, 2012

Olimpik: Kegagalan Basikal Bukan Tanggungjawab Naim Seorang, Kata Menteri

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Kegagalan skuad berbasikal di Olimpik London dalam meraih sebarang pingat bukanlah tanggungjawab Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed seorang sahaja, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang diminta mengulas mengenai hasrat pengurus pasukan berbasikal negara itu untuk meletak jawatan, berkata keputusan tersebut perlu pada perbincangan yang lebih teliti.

"Datuk Naim telah memberi sumbangan besar pada sukan berbasikal negara. Beliau seorang yang berhemah dan bertanggungjawab sehingga sanggup mengambil tanggungjawab, namun kegagalan itu bukanlah kegagalan beliau seorang.

"Apapun saya mahu menunggu sehingga habis Olimpik sebelum memberi sebarang ulasan lanjut mengenai perkara ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Kerjasama Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas antara kementerian itu dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di sini pada Khamis.

-- BERNAMA

No comments: