|  | 
| 
KEN NEE membuat penampilan terakhir di pentas antarabangsa selepas menamatkan cabaran pada temasya Olimpik 2012.  | 
Ken Nee sudah hampir 10 tahun tidak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia ini selepas kali pertama membuat penampilan pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.
Pada temasya di London ini, Ken Nee ada sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun dia gagal meraih pingat dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki.
Dia menjadi penerjun lelaki negara pertama berjaya layak ke final, namun nasibnya kurang baik kerana menamatkan saingan di tempat ke-10.
Membuat penampilan keduanya pada temasya Olimpik selepas Sydney 2000, penerjun tinggi lampai berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur itu mengumpul 437.45 mata keseluruhan daripada enam disiplin dalam acara tersebut.
Dia meraih 79.05, 78.20, 49.50, 79.20, 76.50 dan 75.00 untuk menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 12 penerjun yang beraksi di peringkat akhir itu.
Acara tersebut dimenangi penerjun Rusia, Ilya Zakharov dengan mengutip 555.90 mata manakala dua penerjun China, Qin Kai dan He Chong masing-masing meraih perak dan gangsa.
Pada temasya di Sydney, Australia, Ken Nee terkandas pada peringkat kelayakan.
"Saya sudah mencapai apa yang diimpikan dalam karier saya, jadi sudah tiba masanya saya bersara. Saya juga menawarkan diri untuk menjadi jurulatih.
"Sepanjang karier saya, saya sudah memenangi pingat dalam acara ini pada peringkat antarabangsa dan juga sudah berjaya beraksi pada final Sukan Olimpik.
"Saya rasa sudah cukup dan kejayaan yang saya raih selama ini sungguh memuaskan hati saya," kata Ken Nee.
Sejak pembabitannya dalam sukan terjun, Ken Nee merupakan pemenang pingat perak dalam acara 3m papan anjal individu lelaki (Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar) dan sebelum itu dia meraih emas pada temasya yang sama di Busan, Korea Selatan pada 2002.
Pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China dua tahun lalu, dia berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.
Kali ini pada Sukan Olimpik London, dia melangkah ke final, namun gagal dalam percubaannya untuk memang pingat.
- KOSMO
 
 
No comments:
Post a Comment