Monday, August 18, 2008

Masalah kecergasan ganggu Hup Wei

KETIKA ketinggian 2.32 meter menjadi sasaran untuk buruan tiket ke peringkat akhir acara lompat tinggi lelaki, Lee Hup Wei turut mengejar masa memulihkan kecergasan yang sedikit terjejas sejak tiba di Beijing, Rabu lalu.


Biarpun masih mempunyai sehari lagi sebelum acaranya bermula di Stadium Nasional atau Bird Nest, esok, jurulatihnya, Lou Cwee Peng, berharap anak buahnya itu mampu memulihkan kecergasan dengan segera.

"Dia kekurangan rehat selepas tidak dapat tidur dalam penerbangan ke Beijing. Kami menaiki pesawat tengah malam dan belum dapat tidur lena sudah dikejutkan untuk makan.

"Dan apabila tiba, terpaksa pula menunggu lama di lapangan terbang sebelum dibawa ke Perkampungan Sukan.

"Setakat ini, Hup Wei menunjukkan tanda yang baik dan saya harap segalanya akan baik menjelang aksinya Ahad ini," kata Cwee Peng yang juga bekas pelompat tinggi negara.

Hup Wei adalah antara tiga atlit olahraga negara di Beijing dengan pelompat bergalah wanita, Roslinda Samsu akan membuka kempen, hari ini manakala Yuan Yufang akan beraksi dalam acara jalan kali 20 kilometer pada 21 Ogos ini.

Masalah yang dihadapi Hup Wei tidak jauh bezanya dengan apa yang perlu dialami Hup Wei ketika dihantar untuk menyertai Terbuka Singapura minggu lalu apabila mengharungi perjalanan 11 jam dengan keretapi.

Di sana, Hup Wei yang mempunyai catatan terbaik 2.27m dilakukan Mei lalu, tiba kira-kira jam 8 pagi dan acaranya pula dijadualkan bermula jam 3 petang.

"Rehat tidak cukup serta keadaan cuaca yang panas ketika itu menyebabkan Hup Wei membuat keputusan tidak beraksi kerana khuatir boleh mengalami kecederaan.

"Lagipun sasaran Hup Wei bukan kejohanan itu tetapi Sukan Olimpik ini," katanya.

Mengikut statistik 43 atlit yang layak beraksi dalam acara itu, hanya tiga peserta, Linus Thornblad, Stefan Holm, kedua-duanya dari Sweden, dan Andrey Silnoy dari Russia yang layak dengan catatan terbaik pada 2.38m.

BH

No comments:

Post a Comment