Widiya Habibah Shamsuri |
IMPIAN beraksi di Sukan Olimpik Beijing bermula 8 Ogos ini menjadi kenyataan buat pengadil bola sepak wanita Malaysia, Widiya Habibah Shamsuri (gambar).
Widiya, 31, yang mencatat sejarah selaku wanita pertama Malaysia dilantik pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 2005 adalah di antara 36 pengadil dari seluruh dunia ditugaskan untuk temasya empat tahun sekali itu.
Namanya tersenarai sebagai pembantu pengadil selepas melepasi ujian kecergasan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa) di Stadium Kuala Lumpur Cheras, minggu lalu.
"Saya gembira kerana mendapat peluang menjadi pembantu pengadil dalam kejohanan ini buat julung kali.
"Dengan pengalaman terbabit dalam pelbagai kejohanan sejak ditauliah, saya yakin mampu menggalas cabaran dan melakukan terbaik bagi mengharumkan nama negara," katanya.
Widiya bersama lapan lagi pengadil dari Asia yang terpilih ke Olimpik kali ini akan berlepas ke Beijing pada 31 Julai untuk memulakan tugas kejohanan yang bermula daripada 6 hingga 22 Ogos.
Selain bertugas di Olimpik, Widiya juga mengimpikan tugas di Kejohanan Bola sepak Piala Dunia Wanita di Jerman pada 2011.
"Piala Dunia menjadi matlamat terakhir saya dalam pembabitan sebagai pengadil Fifa,' katanya yang masih solo dan berasal dari Negeri Sembilan.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment