Thursday, July 10, 2008

Roslinda mula temui rentak

Oleh Lukman Salleh

ROSLINDA Samsu kembali menampilkan aksi konsisten dalam acara lompat bergalah wanita, sekali gus menyuntik keyakinan dalam persembahannya bagi menghadapi Sukan Olimpik Beijing, bulan depan.

Berada di Sepanyol ketika ini untuk persiapan selama sebulan menghadapi temasya Beijing, Roslinda tampak menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk memastikan dirinya dalam prestasi terbaik bagi mencipta kejutan apabila kejohanan sukan terbesar dunia itu bermula 8 Ogos ini.

Dalam beberapa siri pertandingan disertai, walaupun belum dapat menyamai ataupun mengatasi catatan peribadi terbaiknya 4.40 meter, Roslinda berhasil untuk melakukan lompatan baik terutama pada kejohanan di Salamanca, 2 Julai lalu, apabila melepasi 4.30m.

Ketinggian itu yang dilakukan pada percubaan keduanya, memberikan Roslinda tempat keempat dalam pertandingan yang disertai beberapa atlit terbaik lompat bergalah dengan peserta Russia, Tatyana Polnova memenangi emas dengan paras 4.70m dan perak menjadi milik Natsja Rysich dari Jerman 4.50m.

Tiga hari kemudian, Roslinda mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa di Madrid, bagaimanapun gagal memperbaiki lompatannya apabila sekadar melepasi ketinggian 4.15m, dan tidak mampu mengatasi paras 4.30m dalam ketiga-tiga percubaannya.

Emas sekali lagi dimenangi atlit Russia, Svetlana Feofanova dengan ketinggian 4.70m dengan Polnova meraih gangsa (4.65m) dan seorang lagi rakan senegara, Yulia Gulobchikova ketiga (4.60m).

Sebelum itu, Roslinda dalam kejohanan pertamanya sejak tiba ke Sepanyol akhir bulan lalu, berjaya mencatatkan ketinggian 4.25m dalam salah satu kejohanan tempatan.

No comments: