Thursday, July 10, 2008

Pemanah kabur suasana Olimpik


Oleh Hasnira Hassan

TANPA pengalaman beraksi di pentas Olimpik, trio memanah negara lebih gemar bersikap realistik dengan menjadikan pengalaman aksi sulung di Beijing bulan depan sebagai bekalan saingan di London pada 2012.

Namun, ia bukan bermakna mereka menafikan tanggungjawab membawa pulang pingat buat negara, sebaliknya, menjadikan kemampuan meraih pingat sebagai bonus ketika matlamat asal meraih pengalaman.

Mengakui teruja beraksi kali pertama di Sukan Olimpik, pemanah utama negara - Muhammad Marbawi Sulaiman, 25, yang ditemui sebelum berangkat menyertai Kejohanan Memanah Piala Dunia Ketiga di Boe, Perancis, berterus terang dirinya kabur mengenai suasana Sukan Olimpik

“Ini pendedahan kali pertama, sukar untuk mengatakan apakah kami mampu menangani tekanan atau membawa pulang pingat buat negara kerana kami juga tidak tahu bagaimana suasana di sana (Beijing).

“Maka, aksi sulung ini kami jadikan sebagai pengalaman untuk aksi sebenar pada 2012. Namun, persiapan saya sendiri sudah mencapai 80 peratus untuk bersaing di Olimpik dan andai mampu memenangi pingat, itu bonus bagi saya,” katanya.

Nada sama turut dilafazkan rakan sepasukan, Cheng Chu Sian, 22, yang memberi jaminan akan beraksi sebaik mungkin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang di kejohanan berprestij dunia itu.

Namun, usaha itu hanya disandarkan kepada bimbingan jurulatih negara, Lee Jae-hyung selain pengalaman di kejohanan serta latihan luar negara.

“Saya akui prestasi kami semakin meningkat tetapi sukar menjangka kemampuan kami di Beijing ketika berdepan negara lain seperti China, Korea, Taiwan, Jepun, Itali dan Amerika Syarikat yang mempunyai sejarah sukan memanah lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya yang menetapkan sasaran merapatkan jurang dengan pemanah dunia.

Jae-hyung sebelum ini turut menekankan prestasi tinggi anak buahnya di Kejohanan Dunia termasuk memenangi pingat perak di Kejohanan Piala Dunia Ketiga di Antalya, Turki, awal bulan lalu, bukan kayu pengukur terhadap aksi mereka di Beijing.

Tanpa menetapkan sebarang sasaran, beliau membayangkan faktor cuaca tidak menentu selain kehadiran penyokong tuan rumah yang mampu mempengaruhi aksi.

No comments:

Post a Comment