Thursday, July 10, 2008

MNCF risau Azizul hebat sangat

Oleh Azidan Nahar

azidan@bharian.com.my




Badan induk tidak mahu Raja Keirin Asia ini memuncak terlalu awal

PRESTASI semasa yang amat memberangsangkan dicipta pelumba trek negara, Mohd Azizulhasni Awang (gambar) tampak merisaukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) yang tidak mahu Raja Keirin Asia itu memuncak terlalu awal.

Ini berikutan pelumba berasal dari Terengganu berusia 20 tahun itu melalui musim terhebat apabila meraih pelbagai gelaran sama ada di peringkat Asia mahupun dunia selain memecahkan rekod Asia dan kebangsaan.

Sejak enam bulan lalu, Azizul sudah memenangi emas acara keirin dan pecut pada Kejohanan Trek Asia di Nara dan Revolution #3 di Melbourne, selain turut memenangi perak acara pecut dan keirin pada Kejohanan Trek Victoria, Melbourne.

Dia juga berkedudukan kelapan acara pecut Kejohanan Trek Sedunia, Manchester sambil memecahkan rekod Asia.

Ketika Sukan Olimpik Beijing hanya akan bermula tidak sampai sebulan lagi, pengurus pasukan berbasikal negara, Abu Samah Wahab bimbang jika Azizul tidak akan mencapai kemuncak prestasi ketika beraksi di Beijing nanti.

"Ia merisaukan kerana prestasi Azizul semakin meningkat dan terus meningkat, saya bimbang dia akan mengalami penurunan di Olimpik nanti," kata Abu Samah yang juga presiden MNCF.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam tiga acara trek di Beijing iaitu pecut berpasukan, pecut 200 meter dan keirin menerusi Azizul, Josiah Ng, Rizal Tisin serta Mohammad Edrus Mohd Yunos.

Azizul sendiri akan menyertai tiga acara iaitu keirin, pecut 200m individu serta pecut berpasukan.

Dan ketika ini skuad trek negara berpangkalan di Valencia, Sepanyol selepas mengadakan latihan dan menyertai kejohanan di Melbourne dan jurulatih negara, John Beasley melaporkan semua pelumba dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, MNCF sudah menghantar surat kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk meneliti dan menghantar pakar ke Sepanyol untuk memantau atlit agar berada pada prestasi terbaik tepat pada masanya.

"Tahun ini pelumba semakin menyerlah, MNCF sendiri tidak menjangka hasilnya secepat ini kerana semua atlit masih muda dan masih mampu untuk berkayuh hingga Olimpik 2012," kata Abu Samah.

Berita gembira turut dilontarkan apabila prestasi Rizal semakin membanggakan terutama sebagai pelumba ketiga acara pecut berpasukan yang dilihat bersesuaian kerana dia sememangnya pakar dalam acara 1 kilometer.

No comments:

Post a Comment