Monday, July 14, 2008

Kim Hock harap tuah undian

Oleh Lukman Salleh

lukmsal@bharian.com.my

Chunlai atau Chen Jin halangan Chong Wei

KETUA jurulatih badminton negara, Yap Kim Hock berharap kedudukan selaku pilihan kedua perseorangan lelaki Sukan Olimpik akan memberikan Lee Chong Wei laluan yang mudah apabila proses undian dilakukan 26 Julai ini, sekali gus membuka peluangnya meraih pingat di temasya itu.

Dengan kedudukan pemain pilihan bagi temasya Olimpik itu adalah berdasarkan kepada ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 1 Mei lalu, Chong Wei bakal diberikan kedudukan selaku pilihan kedua, dengan pemain tuan rumah, Lin Dan berada pada kedudukan nombor satu.

Namun, dengan China mempunyai tiga pemain perseorangan dalam temasya itu, Chong Wei mungkin mendapati dirinya terpaksa berdepan dengan pemain ketiga dunia, Bao Chunlai ataupun juara Seluruh England 2007, Chen Jin, yang menduduki ranking keempat dunia.

"Sudah tentu kita mengharapkan undian yang bagus buat Chong Wei dan juga pemain kita yang lain," kata Kim Hock.

"Begitu juga dengan dua beregu negara, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang berdasarkan kepada kedudukan ranking 1 Mei, masing-masing akan mengisi kedudukan selaku pilihan keempat dan kelima.

"Tetapi ini semua adalah harapan. Apa yang penting ialah dalam undian nanti, mereka dapat mengelak bertemu pemain atau beregu yang menjadi badi kepada mereka," kata Kim Hock.

Jika semuanya mengikut kepada ranking 1 Mei lalu, sudah hampir pasti Chong Wei akan berdepan dengan Bao, pemain China yang tampak begitu kental kebelakangan ini dan pemain negara pasti berdepan masalah untuk menewaskannya, berbanding jika diletakkan dalam kelompok bersama Chen Jin.

Namun semangat dan keyakinan Chong Wei kini pada tahap tertinggi ketika ini selepas meniti saingan Piala Thomas dengan cemerlang tanpa sebarang kekalahan termasuk kemenangan dua set ke atas Lin Dan di separuh akhir serta kemenangan bergaya di Terbuka Singapura, bulan lalu.

Bagi Tan Fook-Wan Wah dan Kien Keat-Boon Heong, salah seorang daripada mereka akan berdepan laluan sukar termasuk berdepan pilihan kedua, Cai Yun-Fu Haifeng dari China serta beregu utama Korea Selatan, Jun Jae-sung-Lee Young-dae yang juga pilihan ketiga kejohanan.

Dua wakil wanita, iaitu perseorangan Wong Mew Choo dan beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang mengisi kedudukan ranking ke-10 dunia, tampak akan berdepan laluan penuh ranjau.

BH

No comments: