DI mana sebenarnya sasaran kontinjen negara untuk Sukan Olimpik ketika ini? Melangkah ke Beijing untuk memburu misi menamatkan kemarau emas atau sekadar bertandang memburu pencapaian terbaik peribadi?Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar, tampak terperangkap dalam belenggu persoalan itu ketika cuba sedaya mungkin untuk tidak membebankan atlit negara ke temasya itu nanti.
Beliau berkali-kali menegaskan betapa Olimpik adalah medan saingan bertaraf tinggi dan peluang meraih pingat dilihat sukar, apatah lagi emas yang menjadi sasaran tertinggi.
“Kita akui sukar meraih pingat di Olimpik dan peluang yang nampak kini hanya menerusi badminton, sekalipun kita mempunyai pelumba basikal cemerlang dan pasukan memanah yang menduduki ranking keempat dunia.
“Lee Chong Wei misalnya - pemain badminton ranking dua dunia - seharusnya mampu layak ke final, tetapi Olimpik begitu berbeza. Maka, andai emas mampu diraih, ia adalah bonus kepada negara,” katanya.
Malah, beliau turut membayangkan sasaran menuai pingat menerusi empat kumpulan sukan - badminton, berbasikal, memanah dan taekwondo wanita - ketika atlit acara lain sekadar diharap memberikan persembahan terbaik.
Manakala, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong turut mengulang pendirian sama mengenai sasaran lebih rendah buat atlit ke Olimpik kali ini demi mengelak memberi tekanan.
“Kita mensasarkan satu pingat tidak mengira apa warna sekalipun. Tetapi di atas kertas, kita mampu meraih sama ada emas atau perak daripada badminton.
“Olimpik berlainan daripada kejohanan lain. Atlit bukan sekadar berdepan saingan lawan tetapi juga tekanan luar biasa, sokongan peminat, penjaga garisan, pengadil selain taktik dan teknik,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment