Monday, July 21, 2008

Chai Lin tidak mengharap

Oleh Meor Hisham Zulkifli

sham@bharian.com.my




PERTAMA kali menjejak kaki ke Sukan Olimpik, Khoo Chai Lin, 19, tidak terlalu meletakkan harapan yang sukar digapai kecuali sekadar memastikan mampu mencatatkan masa terbaik peribadi.

Pemenang anugerah Olimpian Tahunan 2007, dan Olahragawati Selangor ini menegaskan, betapa harapan yang terlalu menggunung pasti menghadirkan lebih banyak tekanan pada diri sehingga sukar untuk menjelmakan keputusan yang terbaik.

“Memang Olimpik adalah satu saingan yang hebat yang disertai ramai perenang terkemuka dunia. Jadi, saya sekadar mengharap untuk dapat menempatkan diri ke sekurang-kurangnya kelompok peserta di separuh akhir kelak.


“Selain itu, sasaran saya adalah untuk memastikan mampu memecah rekod kebangsaan dan mencatat masa terbaik peribadi,” katanya.

Mengulas mengenai persediaannya, beliau yang menggemari makanan Jepun ini, berkata, latihan di bawah jurulatih Paul Thomas Birmingham, nyata memberi kesan dalam usahanya memastikan teknik renangan yang tepat dan membantu dirinya memperbaiki masa.

Dia yang akan tampil dalam acara 400m dan 800m gaya bebas di Olimpik kelak berkata, apa yang diterapkan oleh Birmingham jelas menjadi kesinambungan jurulatih sebelumnya, Gavin Urquhat.

“Penekanan juga banyak diberikan mengenai aspek disiplin diri selaku atlit dan ia suatu yang agak baru bagi kami kerana sebelum ini aspek ini kurang diberikan perhatian.

“Disiplin pemakanan dan waktu tidur banyak ditekankan kerana ia turut membantu bagi memastikan prestasi lebih memberangsangkan,” katanya.

Cai Lin sebelum ini dinobatkan selaku Olimpian Malaysia menerusi kejayaannya meraih emas dalam 400m gaya bebas dan 800m gaya bebas pada Sukan Sea, Thailand. Dalam 400m, gaya bebas, Cai Lin mencipta rekod baru 4:18.20s memadamkan catatan lama 4:19.13s.

Aksinya dalam 800m gaya bebas lebih menakjubkan apabila memadamkan rekod kebangsaan 8:56.88 milik Nurul Huda Abdullah yang bertahan sejak 1988 dengan catatan baru 8:47.80s.

Berita Harian

No comments: