Friday, July 11, 2008

Badminton, Berbasikal, Memanah Berpotensi Raih Pingat Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Atlet sukan badminton, berbasikal dan memanah ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos depan mampu merealisasikan impian kerajaan dan rakyat di negara ini untuk meraih pingat di temasya sukan empat tahun sekali itu, kata ketua kontinjen negara Datuk Ho Koh Chye.

Sukan Olimpik Beijing akan berlangsung dari 8 hingga 24 Ogos ini.

"Saya sependapat dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Ismail Sabri Yaakob) mengenai tiga jenis sukan yang berpotensi menghasilkan pingat sebarang warna di Sukan Olimpik.

"Jika diperhatikan kepada prestasi semasa atlet-atlet kita dalam ketiga-tiga acara sukan itu, mereka berada dalam kedudukan ranking terbaik dunia ketika ini," katanya, mengulas kenyataan Ismail Sabri ketika menjawab soalan Razali Ibrahim (BN-Muar) pada sesi soal-jawab Persidangan Parlimen hari ini.

Ho berkata atlet-atlet Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik mampu menjadi antara pencabar kepada atlet-atlet terkemuka dunia dengan memberi saingan hebat.

Pada Persidangan Parlimen itu, Ismail Sabri berkata dalam menghadapi cabaran Sukan Olimpik Beijing, kontinjen negara meletakkan sasaran untuk berada dalam senarai pemenang pingat tanpa mengira warna pingat itu sama ada emas, perak atau gangsa.

"Sebahagian besar rakyat Malaysia memang mengharapkan atlet-atlet kita dapat menang pingat. Kemenangan mereka juga dapat memberi rangsangan yang baik kepada atlet-atlet pelapis," kata Ho, yang mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus pasukan sukan yang akan bertanding di Sukan Olimpik Beijing di Wisma OCM hari ini.

"Sukan Olimpik juga bakal menjadi medan kepada tiga golongan atlet iaitu atlet yang bakal memenangi pingat seperti atlet dari tiga jenis sukan itu dan atlet yang mungkin tidak mendapat pingat tetapi memberi saingan hebat...sebagai contoh sukan terjun. Mereka juga mungkin boleh membuat kejutan di sana.

"Kumpulan ketiga ialah atlet yang melepasi had kelayakan Olimpik tetapi tidak berpeluang memenangi pingat. Kita berharap mereka akan berusaha meningkatkan prestasi masing-masing sama ada memperbaiki rekod kebangsaan atau Asia," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan kontinjen Malaysia, Ho berkata semua program latihan berjalan mengikut jadual sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Katanya atlet-atlet sedang menjalani latihan fasa terakhir dan telah diberi peluang beraksi dalam beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa.

No comments: