Thursday, May 29, 2008

Noraseela kejar masa ke Olimpik

Oleh Azidan Nahar

BERSEMANGAT: Noraseela cuba mencari rentak lariannya kembali.

Hanya dua bulan tempah tiket ke Beijing

HAMPIR setengah tahun berlalu tanpa sebarang kejohanan utama disertai, pelari 400 meter berpagar negara, Noraseela Khalid tidak punya banyak pilihan selain harus mencapai prestasi terbaiknya dalam tempoh terdekat untuk mencari tempat ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Dibelenggu masalah kecederaan sehingga gagal menyertai Sukan Sea Korat, hujung tahun lalu, Noraseela kini sudah sembuh dan bersiap untuk menyertai kejohanan utama di Eropah.

Pelari berusia 29 tahun itu akan berlepas ke Jerman Sabtu ini dengan sasaran untuk mencipta catatan masa 56.55 saat bagi memberikannya tiket Kategori B ke Beijing.


"Saya sudah OK, jika tidak saya tidak akan cuba mengambil bahagian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia akan terus ke Jerman dan akan bertemu jurulatihnya, Vladimir Hritov Semeonov dan akan berbincang dengan kelab lamanya di Leipzig yang akan mencadangkan beberapa kejohanan boleh disertainya.

"Saya memang sudah biasa di kelab itu sejak 2003 dan saya harap mereka dapat membantu saya nanti. Sekarang pun mereka agak sibuk kerana tempoh untuk atlit layak ke Olimpik semakin suntuk dan banyak kejohanan utama sedang berlangsung," katanya.

Noraseela juga dijangka bertemu seorang lagi atlit negara, Zaiful Zainal Abidin yang kini berada di Eropah dan kedua-duanya bakal menyertai beberapa kejohanan sebelum pulang pada 20 Jun nanti.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 56.02s yang dilakukan di Regensburg, Jerman pada 2006 itu, kini perlu sekali lagi mencapai puncak prestasinya ketika tempoh kelayakan ke Olimpik akan tamat pada Julai ini.

Bagaimanapun bagi Noraseela, dia tidak yakin akan berupaya mencapai tahap prestasi terbaik di Jerman kerana dia baru saja sembuh dari kecederaan dan sedang cuba mencari rentak lariannya kembali.

"Saya rasa mampu kembali ke tahap terbaik pada Grand Prix Asia nanti selepas menyertai beberapa kejohanan di Jerman. Saya akan cuba melakukan yang terbaik di sana untuk layak ke Olimpik," katanya.

Grand Prix Asia akan dilangsungkan di Bangkok pada 23 Jun bagi Pusingan 1 diikuti Pusingan 2 di Korat pada 26 Jun seterusnya Pusingan 3 di Hanoi, Vietnam pada 30 Jun.



Berita Harian

No comments:

Post a Comment