KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) perlu bersedia menanggung risiko selepas bersetuju membenarkan pelumba trek negara, Azizulhasni Awang pulang dari menjalani latihan menghadapi Sukan Olimpik di Melbourne semata-mata untuk beraksi pada Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma XII) di Terengganu akhir Mei ini, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.
Pengerusi Jawatankuasa Basikal Trek, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, ini kerana MSN perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan prestasi Azizulhasni terjaga.
"MSN kena berhati-hati dalam hal ini kerana kita perlu lebih rapi dalam menjaga keupayaannya agar tidak terjejas untuk beraksi di Sukan Olimpik nanti.
"Memang risiko berada di mana-mana. Kita kena terima itu dengan rasional. Itu sebabnya PKBM tidak punya halangan untuk dia pulang.
"Asalkan ia tidak menjejaskan peluangnya untuk beraksi ke Olimpik kemudian nanti sudahlah," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKBM berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah MSN yang masih berkeras membenarkan Azizulhasni pulang untuk Sukma walaupun tidak dibenarkan PKBM sebelum ini.
Pelumba kelahiran Terengganu dikatakan telah dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen negerinya selaku tuan rumah.
Menurut Naim, sasaran untuk Azizulhasni yang lebih penting sebenarnya ialah Olimpik dan bukannya Sukma tetapi masih percaya MSN tentunya mempunyai sebab tersendiri dalam membuat keputusan itu.
Azizulhasni dijadual pulang ke Malaysia awal Jun ini untuk menyertai Sukma selama enam hari sahaja sebelum kembali ke Melbourne semula.
Beliau yang layak secara merit ke Beijing untuk menyertai acara keirin dan 200 meter pecut Ogos ini dijadual akan berentap dalam satu perlumbaan ujian dengan pasukan basikal trek Olimpik Australia pada 15 Jun sekembali daripada menyertai Sukma.
Utusan
No comments:
Post a Comment