Wednesday, May 28, 2008

KOAM mahu seorang lagi atlit ke Beijing

Oleh Azidan Nahar

Yakin ada lagi calon mampu lepasi had kelayakan Sukan Olimpik

TIGA atlit sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Beijing, dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mensasarkan akan ada sekurang-kurangnya tambahan seorang lagi atlit yang mampu layak ke temasya terbesar di dunia itu.

Berbaki hanya dua bulan lagi, empat atlit diharapkan mampu mengiringi Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita), Yuan Yufang (20 kilometer jalan kaki) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) yang terlebih awal sudah menempah tiket.


Mereka ialah Zaiful Zainal Abidin (400m), Rayzam Shah Wan Soffian dan Robani Hassan (110m berpagar) serta Noraseela Khalid (gambar) (400m berpagar wanita).

Pengurus Besar KOAM, Aminuddin Mohd Nasir, berkata empat atlit berkenaan kini diberi peluang untuk layak dengan pelbagai kejohanan sudah dirancang untuk mereka mengatasi had kelayakan.

Antara kejohanan itu adalah Grand Prix Asia yang akan dilangsungkan di Bangkok pada 23 Jun, Pusingan 2 di Korat pada 26 Jun dan diikuti Pusingan 3 di Hanoi, Vietnam pada 30 Jun.

Selain itu, medan terakhir untuk semua atlit kebangsaan cuba untuk layak ialah pada kejohanan Pra Olimpik-Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 2-5 Julai ini di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

"GP Asia adalah kejohanan utama yang kami sasarkan supaya mereka dapat mengatasi had kelayakan ke Olimpik Ogos ini. Selain itu, beberapa atlit kini berada di luar negara seperti Zaiful yang masih berada di Eropah.

"Noraseela juga akan ke Eropah pada 31 Mei ini untuk menyertai latihan dan kejohanan di sana selain lapan lagi atlit kebangsaan baru berlepas untuk menyertai Terbuka Taiwan," katanya.

Aminuddin menjelaskan, KOAM berharap jumlah atlit yang akan layak ke Beijing kali ini akan berganda berbanding hanya dua pada temasya Athens menerusi Nazmizan Mohammad (100m) dan Yufang.

Katanya, dia yakin akan ada lagi atlit yang mampu melepasi had kelayakan berdasarkan prestasi semasa mereka dan kualiti pertandingan yang akan disertai selepas ini.

"Kami juga sudah menjemput beberapa negara untuk turut sama pada kejohanan terakhir di Bukit Jalil nanti, kami mahu wujudkan saingan lebih kompetitif supaya semua atlit kebangsaan mampu melepasi sasaran itu," katanya.

Antara nama yang sudah disenaraikan ke GP Asia ialah, Zaiful (400m, 4x400m), M Vadivellan (1500m), Rayzam dan Robani (110m berpagar), Hup Wei (lompat tinggi).

Selain itu, kuartet 4x100m (Mohd Latif Nyat, Danial Azuan Amar Nand, Mohammad Noor Imran Hadi, Zabidi Ahmad, Mohd Zabidi Ghazali, Ariff Naim Jeffry) serta kuartet 4x400m (K Amran Raj, Zaiful, S Thipan, Mohd Zafril Mohd Zuslaini, S Narendran dan S Mathialagan).

BH

No comments: