Tuesday, May 27, 2008

Hup Wei terkejut cipta rekod baru

Oleh Azidan Nahar

Kejayaan ke Sukan Olimpik naikkan semangatnya

KEJAYAAN meraih emas untuk layak menerusi Kategori B ke Sukan Olimpik Beijing mengundang kepuasan buat atlit lompat tinggi negara, Lee Hup Wei - lantas mahu mencipta lebih kecemerlangan selepas ini.

Selepas mencipta rekod baru kebangsaan apabila melepasi ketinggian 2.27 meter dalam acara final Kejohanan Olahraga Terbuka China di Stadium Olimpik Beijing, kelmarin, Hup Wei terus ke Taiwan bagi menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan, hujung minggu ini.


Sambil menyifatkan pencapaiannya itu sebagai 'bolehlah' anak muda yang pemalu itu tetap gembira dia mampu melakukannya walaupun agak terkejut.

"Saya gembira kerana sudah layak ke Olimpik," katanya ketika dihubungi."Saya mahu buat lebih baik selepas ini, mahu berlatih dengan lebih gigih untuk Olimpik."

Hup Wei mencipta pelbagai kejayaan pada tahun lalu apabila menjuarai Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Jordan, emas Sukan Sea Korat, Kejohanan All Comers serta Terbuka Thailand.

Bagaimanapun, dia mengalami kecederaan hamstring selepas berakhirnya Sukan Sea hujung tahun lalu dan hanya mampu menyertai satu kejohanan tahun ini iaitu di Terbuka Thailand, bulan lalu.

Hup Wei turut kehilangan jurulatihnya Antonio Yznaga Ibar yang terpaksa pulang ke Cuba berikutan masalah kesihatan.

Antonio adalah antara jurulatih yang paling banyak membimbing Hup Wei sejak mengambil alih jawatan itu pada Mei 2007 dan tugasnya kini diganti oleh Low Cwee Peng.

Atlit berusia 21 tahun itu turut berterima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbingnya dan dia mahu menghadiahkan pingat emas itu buat ibunya, Chow Yan Fong.

Mengenai persediaanya ke Olimpik selepas ini, Hup Wei menjelaskan dia akan menyertai Terbuka Taiwan terlebih dulu sebelum pulang untuk mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Terengganu.

"Selain itu saya tidak tahu lagi, terserah kepada KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) untuk menentukannya," katanya.

Pencapaian di Beijing itu juga menceriakan pengurus pasukan negara, R Annamalai yang menyifatkan atlit muda negara memang mampu bersaing dengan atlit terbaik negara lain.

"Sebahagian besar atlit yang dibawa untuk pendedahan ke Beijing kali ini masih boleh menyertai Sukma tetapi tetap menunjukkan persembahan baik," katanya.

Bagaimanapun, beberapa nama atlit senior seperti Mohd Robani Hassan (110m berpagar) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah) gagal menyerlah dengan Robani hanya melaukan 14.36s manakala Roslinda tidak melakukan sebarang lompatan.

No comments:

Post a Comment