Ismail Sabri diharap tak buat perubahan mendadak sehingga selesai misi Olimpik
RASANYA belum terlambat mengucapkan tahniah dan 'Selamat Datang' kepada Datuk Ismail Sabri Yaacob di atas pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman yang kini beralih jawatan sebagai Menteri Pelancongan.
Banyak juga pendapat sudah ditulis di beberapa akhbar mengenai apa yang harus dan tidak patut dilakukan Ismail Sabri sebaik mengisi kerusi menteri itu dan tuan punya diri pula melaungkan hasratnya memberi penekanan kepada belia - sesuatu yang sudah kerap didengar setiap kali Menteri Belia dan Sukan dilantik yang pastinya dirujuk dengan masalah sosial ketika ini.
Sebenarnya sukan dan belia sukar dipisahkan. Penulis percaya jika ada kemudahan sukan yang mencukupi dan harganya tidak terlalu membebankan atau disediakan percuma, tentu lebih ramai golongan muda akan terbabit dengan sukan, bukannya melepak di kompleks membeli belah atau di kedai-kedai kopi.
Malah, ia lebih mudah memancing golongan muda untuk membabitkan diri dalam bidang sukan - sama ada sukan prestasi tinggi, sukan sosial, sukan lasak atau ekstrem daripada aktiviti ‘mat belia’ yang dulunya cukup sinonim dengan batiknya.
Kita lupakan itu dulu. Apa yang mahu penulis perkatakan minggu ini, bukan mengenai isu itu tapi sekadar mengingatkan semua pihak termasuk Ismail Sabri betapa Sukan Olimpik Beijing tinggal 136 hari lagi.
Janganlah dalam masa terdekat ini berlaku sebarang perubahan dasar yang drastik yang mampu menjejaskan persiapan dan persembahan atlit negara di Beijing nanti.
Kesinambungan program wajar ada dan jika ada pun perubahan biarlah sesuatu yang mampu memantapkan persiapan, bukan yang mendadak sehingga meranapkan misi sebenar di Beijing kelak.
Tidak adil bagi penulis untuk menilai kejayaan sesuatu program itu sehingga ke detik penentuan biarpun untuk Olimpik kali ini, apa yang dibelanjakan dikatakan agak tinggi.
Penulis percaya Azalina sendiri jika diberi pilihan, pastinya mahu melihat keberkesanan program yang disusun ketika eranya selepas mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 2004, juga beberapa bulan sebelum Sukan Olimpik Athens.
Tempoh sekarang sehingga akhir Ogos nanti boleh digunakan untuk merancang dulu program lain jika mahu mengikut jejak menteri-menteri terdahulu yang kerap mahu lari daripada bayangan penjawat sebelumnya. Ingat, Sukan Olimpik ini adalah misi nasional dan tidak wajar menjadi mangsa perubahan kosmetik yang mahu dilakukan di kementerian.
Apa yang penting dan wajar segera dilakukan oleh Ismail Sabri adalah menamakan Pesuruhjaya Sukan baru bagi menggantikan Tan Sri Elyas Omar yang akan tamat tempoh lanjutan kontraknya bulan depan, bagi mengendalikan beberapa kes termasuk aduan penyelewengan wang di Persatuan Badminton Kuala Lumpur.
Bukannya apa, sejak kebelakangan ini sudah ada pihak-pihak yang berani bersuara ‘mudah mempengaruhi Menteri Belia dan Sukan sekarang’ selepas menjadi sasaran Azalina sebelum ini.
Cuma satu mahu dinasihatkan kepada Ismail Sabri adalah supaya tidak mengulangi tindakan tergesa-gesa, Sabtu lalu, menghubungi persatuan sukan untuk menemuinya di Putrajaya, semalam. Ia pasti sukar untuk pegawai persatuan, khususnya yang berada di luar negara atau sudah mempunyai temujanji lain.
Penulis juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ‘Selamat Maju Jaya’ buat Azalina yang kehilangannya pasti dirasai, khususnya oleh atlit kerana berjaya menjaga kebajikan mereka selepas menaikkan elaun bulanan mereka serta memperkenalkan Tabung Yayasan Kebajikan Atlit.
Media pula tentunya terasa kehilangan menteri yang banyak ‘menambah warna’ dengan memberikan petikan menarik untuk ditulis, tidak seperti ramai yang sekadar memberikan kenyataan retorik yang membosankan bagi mengelak daripada kontroversi.
Sementara itu, penulis juga gembira isu antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sudah berakhir, cuma tak sedapnya sudah ada tuduhan dilemparkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sebagai dalang masalah itu.
Pelik sungguh situasi ini yang bermula dengan isu bola baru bersalut getah yang mahu digunakan di Sukan Sea Korat, kemudian berlaku perang mulut antara Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail dan Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader sebelum berakhir dengan peluk mesra seolah-olah tiada masalah sebelum itu.
Tapi, kenapa pula nama Zolkples dan Kok Chi dikaitkan sebagai dalang atas kesilapan ciptaan sendiri. Itulah lawaknya apabila dua orang tua bergaduh dan kemudian berbaik-baik semula.
Cuma penulis hanya ternanti-nanti surat dijanjikan seorang daripada mereka selepas bersungguh-sungguh berjanji untuk mengirimkannya keesokan harinya selepas menghubungi penulis pada 27 Februari lalu.
Lembu dipegang pada talinya dan manusia dipegang pada janjinya. Kita tunggu dan lihat.
BH
No comments:
Post a Comment