KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob tidak gentar untuk mengakui kegagalan sekiranya kontinjen negara pulang dengan tangan kosong daripada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini sebagaimana pencapaian hambar di Athens, empat tahun lalu dan Sydney 2000.
Tegasnya, kegagalan bukanlah sesuatu yang perlu dimalukan sekiranya masih berulang di ibu kota China itu malah ia lebih baik daripada kementerian cuba mengelaknya dengan memberikan pelbagai alasan yang kadangkala sukar diterima oleh orang ramai khususnya peminat sukan tanah air.
Dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam, katanya: “Kita mesti menang pingat tanpa mengira warna kerana ia indeks prestasi utama (KPI) atau sasaran kontinjen ke Beijing. Jika tidak mencapainya, kita perlu akui telah gagal.
“Sebarang kegagalan juga bererti kita mesti cuba berusaha lebih gigih dan bukannya memberikan banyak alasan,” katanya yang menganggap memenangi pingat Olimpik bukanlah satu cabaran yang sukar baginya selepas menerajui kementerian ini sejak 18 Mac lalu.
Masalah
Ismail Sabri yang sebelum itu mendegar taklimat dengan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) berkata, cabaran yang lebih besar ialah menghadapi dan menyelesaikan masalah belia sedangkan satu pingat Olimpik sahaja sudah dikira mewakili kejayaan sukan negara.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng; Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Aziz.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat Olimpik ialah pada temasya 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan sebutir perak (Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock) dan gangsa (Rashid Sidek) – kedua-duanya daripada sukan badminton.
Ismail Sabri yang dilantik menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun meramalkan peluang Malaysia mencapai pingat Olimpik banyak bergantung kepada sukan badminton yang dijangka menampilkan 10 pemain ke Beijing selewat-lewatnya Mei ini.
“Ketika ini kita ada 16 atlet yang telah layak ke Olimpik dan menjangkakan mendapat 14 lagi iaitu 10 daripada badminton dan empat pelumba berbasikal selain masih menunggu skuad hoki (20 pemain) namun badminton masih menjadi harapan kita (meraih pingat),” jelasnya.
Utusan
No comments:
Post a Comment