Rakyat China turut berasakan sukan itu menyebabkan kehidupan semakin buruk
KETIKA tumpuan dunia terarah ke China pada bulan-bulan mendatang ini, pemerhati beranggapan keganasan di Tibet memberikan Beijing ujian hak asasi manusia pertama menjelang bermula Sukan Olimpik.
Bantahan di ibu negara Tibet, Lhasa terhadap pemerintahan China mengakibatkan pertempuran di antara penunjuk perasaan dan polis hingga menyebabkan beberapa kematian.
Krisis itu adalah cabaran terbesar kepada pihak berkuasa Beijing di wilayah itu sejak 20 tahun, apabila demonstrasi dihalang dengan ganas oleh pihak berkuasa.
Tetapi dengan hanya lima bulan sebelum bermula Sukan Olimpik, China mendapati mereka kini menjadi tumpuan antarabangsa kerana layanannya terhadap rakyat sendiri sedangkan mereka turut sibuk membuat persiapan untuk menunjukkan keistimewaan mereka kepada dunia.
“Boleh dikatakan Sukan Olimpik kini menghantui mereka semula,” kata Valarie Niquet, pengarah Hubungan Antarabangsa Institut Perancis yang berpangkalan di Paris.
“Pada 2001, China diberi hak penganjuran temasya ini tatkala seluruh dunia sedang bercakap secara positif mengenai negara itu, contohnya keajaiban ekonominya.
“Tetapi dunia sudah berubah dan dari saat ini, kita mengharapkan lebih lagi tetapi China tidak sedar bahawa dunia menjangkakan sesuatu yang lebih besar daripada mereka.”
Corinna-Barbara Francis, penyelidik China bagi Amnesty International yang beribu pejabat di London, berkata Sukan Olimpik hanya mendatangkan kemarahan kepada rakyat negara itu.
“Rakyat China dilanda ketidaktentuan di kalangan pemerintah yang mahukan pengiktirafan dunia daripada Sukan Olimpik, tanpa mengambil kira hak yang sepatutnya dinikmati rakyatnya,” katanya.
“Ketidaktentuan ini menyebabkan kemarahan rakyat, dari golongan petani dan kumpulan etnik kepada peguam.”
Dia menambah kebangkitan rasa marah kerana ditekan sejak beberapa tahun lalu membuatkan rakyat berasakan ‘Sukan Olimpik menjadi penyebab kehidupan mereka semakin bertambah buruk.’
Sejak beberapa minggu lalu, China diselar kerana layanannya terhadap minoriti rakyat beragama Islam di wilayah barat laut Xinjiang serta penahanan dan perbicaraan terhadap Hu Jia, salah seorang aktivis hak asasi manusia di negara itu.
Antara senarai kritikan yang semakin berpanjangan termasuklah ugutan terhadap Taiwan dan kegagalannya untuk menyokong perubahan demokrasi di Hong Kong.
Kritikan paling utama ialah sokongan China terhadap kerajaan Sudan ketika lebih 200,000 rakyat negara itu terbunuh di wilayah Darfur, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat berkata, China adalah pembekal senjata terbesar kepada Sudan, dan menambah Khartoum membayar peralatan senjata itu daripada pendapatan jualan minyak yang dijual ke China.
Kate Saunders dari Kempen Antarabangsa Untuk Tibet, berkata tekanan buruk China kepada hak rakyatnya di Tibet mencetuskan keganasan terbaru, baru-baru ini.
“Ia membuktikan tahap kekecewaan yang semakin meluap-luap. Tampak seolah-olah ia mencecah paras sehingga mereka sanggup melanggar segala dasar yang dilaksanakan China di Tibet,” katanya.
“Ini adalah tindak balas daripada kenyataan angkuh China terhadap Dalai Lama serta jurang ekonomi yang semakin besar. Kedua-duanya kini bergabung.”
Beijing sendiri pernah mengakui mereka memainkan peranan dalam mencetuskan konflik itu.
Keganasan Jumaat lalu berlaku selepas bantahan tiga hari yang disertai beratus-ratus penunjuk perasaan terdiri daripada sami di Lhasa, India dan seluruh dunia yang menandakan ulang tahun kemarahan terhadap pemerintahan China sejak 1959.
China memerintah Tibet sejak 1951, setahun selepas mereka menghantar angkatan tentera untuk ‘membebaskan’ wilayah yang sebelumnya dikuasai pemerintahan feudal. - AFP
No comments:
Post a Comment