Monday, January 21, 2008

Olimpik keutamaan Mew Choo

Belum fikir sertai mana-mana kelab

WALAUPUN didatangi sebuah kelab badminton tempatan untuk menyertai mereka, perseorangan utama wanita negara, Wong Mew Choo belum berhajat berbuat demikian sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Dengan habuan yang dijanjikan cukup lumayan, tidak dinafikan tawaran itu cukup menarik untuk ditolak tetapi Mew Choo tidak mahu perkara itu mengaburi tumpuannya yang mahu menampilkan aksi cemerlang di Beijing.


"Saya hanya mahu menumpukan kepada kelayakan dan aksi Sukan Olimpik," kata Mew Choo. "Saya tidak terganggu dengan perkara lain. Mungkin selepas Olimpik baru saya akan memikirkan mengenai kedudukan saya, apakah kehendak saya.

"Seperti pemain lain, saya juga mempunyai keinginan dan memikirkan mengenai masa depan saya," katanya yang hanya tersenyum apabila diajukan persoalan sama ada dia ada menerima tawaran lumayan daripada kelab tebabit untuk menyertai mereka.

Tetapi daripada katanya, jelas sekali Mew Choo tidak menolak kemungkinan perpindahan kepada kelab badminton itu mungkin jadi realiti tetapi bukan dalam masa terdekatnya dengan faktor utama kepada penghijrahan itu ialah masa depannya


"Saya rasa semua pemain mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza mengenai perkara ini," kata Mew Choo. "Kami sudah memberikan segala-segalanya kepada badminton sebaik tamat persekolahan atau selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kami tidak mempunyai pekerjaan ataupun latar belakang pendidikan lebih tinggi dan sudah semestinya wang atau sumber pendapatan tinggi amat penting dan kami amat memerlukannya bagi memastikan masa depan kami terjamin," katanya.

Apapun, buat masa ini Mew Choo hanya menumpukan kepada kelayakan ke Beijing dan walaupun sudah hampir pasti akan beraksi Ogos ini, masih berasa gusar terutama sekali jika kecederaan boleh menggagalkan usahanya.

"Saya perlu memastikan mempunyai mata yang cukup untuk kelayakan Olimpik walaupun kedudukan saya ketika ini tampak selesa tetapi apa yang membimbangkan saya ialah kecederaan.

"Saya harap tidak akan dilanda kecederaan serius kerana semua tumpuan saya harapan saya ialah untuk beraksi di Olimpik Beijing," katanya.

No comments:

Post a Comment