Thursday, January 17, 2008

Mew Choo sasar aksi Beijing


SETAHUN lalu, dia mengakui betapa segalanya lebih mudah. Tanpa diberi perhatian dan harapan, Wong Mew Choo mencipta kejutan dan meraih tumpuan apabila melonjakkan diri hingga ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia.

Namun segalanya kini sudah berubah. Tambahan pula kejayaan mengungguli Terbuka China, November lalu, mengangkatnya daripada status 'pelengkap penyertaan' kepada kini diberi tumpuan selaku antara pencabar mampu memenangi gelaran.

Malah secara tiba-tiba, Mew Choo, 25, juga mula mahu diyakini berupaya disandarkan harapan negara untuk meraih pingat menerusi acara perseorangan wanita pada temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos nanti.


"Saya lebih suka jika tumpuan hanya kepada (Lee) Chong Wei ataupun Koo (Kien Keat) dan Tan (Boon Heong). Kerana ia akan memudahkan saya. Tetapi mungkin segalanya sudah berbeza ketika ini.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah supaya tidak terlalu memikirkan mengenainya. Saya hanya fokus kepada perlawanan, satu persatu," kata Mew Choo selepas mudah melepasi halangan pusingan awal dengan kemenangan 21-17, 21-13 ke atas rakan senegara, Julia Wong, semalam.

Malah kerana itu juga, di sebalik penarikan diri pada saat akhir oleh pilihan utama, Xie Xingfang - lawan ditundukkannya pada final Terbuka China lalu - Mew Choo enggan bingkas mendabik dada mampu melangkah jauh.

"Sebelumnya, sasaran saya ialah suku akhir kerana akan bertemu Xingfang. Mungkin tanpanya, saya boleh mengharapkan kemaraan yang lebih jauh. Tetapi lebih baik fokuskan halangan satu persatu seperti selalu," katanya.

Mew Choo, kini berstatus ranking kelapan dunia, turut tidak punya sasaran besar mahu dicapai dalam tempoh tujuh bulan sebelum bermulanya Sukan Olimpik kerana apa yang mahu dicapainya hanyalah mempertahankan kedudukan ketika ini.

"Apa yang mahu saya lakukan ialah berada dalam lapan tempat teratas dan diberikan status pilihan ketika Olimpik nanti. Ini akan jadi Olimpik pertama saya dan sudah tentu saya mahu menikmati pengalaman itu," katanya.

Mew Choo akan turun menentang pemain Switzerland, Jeanine Cicognini di pusingan kedua hari ini dan dijangka tidak bermasalah untuk melepasi halangan itu serta lawan di suku akhir sebelum menempah pertemuan dengan pemain China, Zhu Lin, yang mengatasinya di final tahun lalu.

Berita Harian

No comments: