Thursday, March 17, 2016

Azizulhasni tumpu bina otot kaki sebelum ke Rio

SHAH ALAM – Jaguh trek berbasikal negara Azizulhasni Awang kini menumpukan usaha untuk meningkatkan tahap kekuatan fizikalnya untuk persediaan ke Sukan Olimpik dalam usaha menandingi pencabar lain terutama pelumba dari Eropah yang jelas memiliki kelebihan fizikal.

Azizulhasni, yang akan bersaing dalam acara keirin, berkata segala persiapan untuk menghadapi O­limpik, yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil Ogos ini, kini berada di atas landasan yang tepat tetapi dia kini memberikan tum­puan kepada membina otot di bahagian kaki. “Saya nak tambah sekurang-kurangnya dua kilogram berat otot kaki terutama di bahagian quadriceps.

Itu adalah sasaran utama saya ketika ini. “Ini kerana otot hamstring saya sekarang dalam keadaan baik berbanding di bahagian quadriceps yang agak lemah sedikit. “Selain itu, kami juga akan ber­kerjasama dengan saintis sukan dari United Kingdom. Setakat ini, dia begitu gembira dengan persembahan saya di London. “Jadi rancangan kami sekarang adalah nak memperkemaskan persediaan untuk ke Rio,” kata pelumba berusia 28 tahun itu dalam sidang akhbar selepas program ‘Road to the Olympic’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Dalam program anjuran Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM itu, Azizulhasni berkongsikan kisah perjalanan kariernya bersama kira-kira 250 penuntut dan pemegang biasiswa penganjur. Hadir sama pada program tersebut, Dekan FSR, Prof. Madya Dr. Mohd. Hanafiah Abidin dan Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Penyelidikan) FSR, Datin Dr. Sarimah Ismail. Azizulhasni atau terkenal de­ngan jolokan The Pocket Rocketman yang meraih gangsa dalam acara keirin Kejohanan Trek Dunia di London baru-baru ini adalah antara prospek utama Malaysia untuk meraih emas pertama negara di Olimpik Rio.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, dia telah mendaftarkan Jupha Somnet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila nama pelumba trek wanita negara itu tersenarai dalam slot simpanan ke Olimpik yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI). “Dalam slot simpanan ini, boleh jadi dia (Jupha) dapat ke Rio atau sebaliknya. Jadi MOM cadangkan supaya kami mendaftarkan namanya untuk ke Olimpik sebab perbelanjaan ke sana yang dikeluarkan oleh MOM untuk satu orang agak besar,” katanya. Skuad berbasikal trek di Olimpik Rio, selain Azizulhasni, akan turut diwakili Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara pecut wanita.

Skuad negara akan kembali ke Melbourne pada hujung bulan ini untuk menjalani latihan, sebelum berlepas ke Portugal untuk memperkemaskan lagi persediaan ke Olimpik.



Utusan 

No comments: