Wednesday, July 8, 2015

Rombakan besar-besaran skuad Hoki Negara, Beng Hai serah kepada KHM

SEPANG, 7 Julai (Bernama) -- "Saya serahkan kepada KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk tentukan kedudukan saya," kata ketua jurulatih skuad negara, Tai Beng Hai.

Bagi Beng Hai, beliau bersikap terbuka sekiranya KHM mahu menggantikannya dengan individu lain bagi mengendalikan skuad dengan jolokan 'The Speedy Tigers' itu.

"Kita terpaksa tunggu laporan daripada pihak pengurusan pasukan sebelum KHM buat keputusan.

"Jadi masa depan kita semua, kena tunggu selepas mesyuarat post-mortem," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Selasa.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan akan melakukan rombakan dalam skuad negara berikutan kegagalan 'The Speedy Tigers' mengesahkan tiket secara merit ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro di Liga Hoki Dunia yang baru berakhir di Antwerp, Belgium.

Skuad negara sekadar menduduki tangga keenam di kejohanan itu selepas tewas kepada Ireland 1-4, sekali gus melepaskan peluang kedua mencari tiket secara merit ke Rio, sesudah gagal menempatkan diri ke separuh akhir apabila tewas 2-3 kepada India di suku akhir.

Beng Hai, diberi tugas besar menamatkan kemarau 15 tahun skuad negara ke Sukan Olimpik sesudah kali terakhir beraksi di edisi Sydney 2000. Beliau sebelum itu, menjadi jurulatih sementara menggantikan Muhammad Dharmaraj Abdullah yang direhatkan selepas keputusan hambar di Sukan Komanwel Glasgow tahun lalu.

Ia adalah kali kedua Beng Hai dilantik menjadi ketua jurulatih selepas memegang jawatan sama bagi tempoh 2009-2010.

Bagi Beng Hai, rancangan rombakan besar yang mahu dilakukan perlu dibuat tanpa menjejaskan prestasi pasukan, apa lagi ketika ini beberapa pemain sudah melahirkan hasrat untuk bersara daripada skuad negara.

Lima pemain senior yang berhasrat menamatkan karier mereka bersama pasukan kebangsaan ialah penjaga gol Roslan Jamaluddin, Baljit Singh Charun Singh, Azlan Misron, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Muhammad Razie Abd Rahim.

Satu-satunya peluang Malaysia tersenarai ke Brazil nanti adalah dengan mengharapkan ehsan pasukan lain yang sudah layak secara merit ke Rio iaitu Australia atau New Zealand menjuarai Piala Oceania, Argentina atau Kanada muncul juara Kejohanan Pan American.

Pada masa sama, Malaysia turut mengharapkan Jerman, Belanda, Great Britain atau Belgium memenangi kejuaraan Eropah serta Jawatankuasa Olimpik dan Persekutuan Sukan Afrika Selatan (Sascoc) kekal dengan keputusan tidak akan menyertai acara itu di Rio.

Sebelum ini, Sascoc mengumumkan juara benua itu tidak akan beraksi di Rio, sekali gus bermakna ada dua slot kosong yang mampu memberi sisa-sisa harapan untuk Malaysia menyelinap masuk

-- BERNAMA

No comments: