Wednesday, July 8, 2015

Puas hati prestasi Chong Wei





Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengakui berpuas hati dengan prestasi semasa Datuk Lee Chong Wei terutama selepas muncul juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat dan GP Terbuka Kanada.

Menurutnya, terdapat perbezaan dari segi permainan Chong Wei terutama selepas kedatangan Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen.

“Saya tengok permainannya baru-baru ini ada perubahan terutama selepas mendapat nasihat Frost,” katanya baru-baru ini.
Jelasnya, permainan Chong Wei sekarang ini penuh dengan tipu muslihat walaupun usianya sudah melebihi 30 tahun.

“Dia masih sukar untuk dikalahkan dan saya harap ranking di peringkat dunia kembali naik.
“Saya harap di GP Emas Taiwan dia mampu meraih mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio. Dia adalah harapan kita untuk memenangi pingat di sana,” kata Tengku Mahaleel.

Ujarnya, permainan Chong Wei juga dilihat lebih tenang, tidak terlalu gopoh-gapah dan tertekan.
“Saya berasa senang hati dan berdasarkan kebolehannya, saya harap dia mampu muncul juara di Kejohanan Dunia 2015 Jakarta.

” Frost ketika beraksi satu ketika dulu lebih banyak menggunakan kemahiran individu serta banyak helah, zaman Chong Wei lebih kepada smash serta pukulan lambung,” katanya.



-Oleh Ferzalfie Fauzi Arena - Harian Metro


No comments: