Friday, July 10, 2015

Kedudukan Walsh dibuat selepas raya



KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan urusan untuk membawa masuk bekas jurulatih India, Terry Walsh bagi mengisi jawatan pengarah teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih berada dalam fasa perbincangan.

Jelasnya, keputusan untuk membawa masuk Walsh sudah lama diterima, namun sebarang kata putus tidak dapat dilakukan lagi kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan terlebih dahulu dan sebarang kata putus akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Mengenai perkara tersebut pihak kami sudah berbincang dengan MHC dan kami tidak mempunyai sebarang halangan untuk membawa Walsh masuk ke dalam badan induk sukan berkenaan, namun keputusan muktamad dapat dilakukan selepas Hari Raya nanti.

“Keputusan untuk membawa masuk Walsh memang sudah ada dan ia dibuat tidak mempunyai kaitan berhubung prestasi skuad hoki negara dalam kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium tempoh hari.

“MHC memerlukan seseorang yang mampu melihat skuad hoki negara secara keseluruhan dan bukannya lebih tertumpu kepada sesuatu aspek sahaja dan ketika ini dialah (Walsh) calon yang dirasakan bersesuaian,” katanya kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa bersama atlet negara di MSN Bukit Jalil semalam.


UTUSAN

No comments: