Tuesday, July 14, 2015

Jawatankuasa perintah dan kawalan tentukan kelayakan Atlet ke Program Podium

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Keputusan mengenai kelayakan seseorang atlet untuk diserapkan dalam Program Podium hanya boleh dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perintah dan Kawalan program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menjelaskan persatuan sukan kebangsaan (NSA) mempunyai hak untuk mencalonkan atlet terbaik masing-masing namun keputusan muktamad terletak pada jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Program Podium merupakan program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan.

"Kita masih membincangkan mengenai perincian berhubung program ini. Dari segi pemilihan atlet (sebagaimana yang diumumkan oleh Khairy) sebelum ini adalah berdasarkan perbincangan awal dengan NSA," kata Ramlan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama ibu tunggal serta anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Gombak anjuran Kelab ISN di sini, hari ini.

"Ini (pemilihan awal atlet) bagaimanapun sekadar panduan sahaja kerana apa yang diperolehi perlu dibawa untuk kelulusan jawatankuasa ini.

Pada masa ini, kita ada satu senarai awal (atlet) yang masih diteliti dengan lebih terperinci bukan sahaja mengenai pencapaian masa kini tetapi pencapaian mereka yang terdahulu supaya atlet yang dipilih adalah mereka yang menunjukkan prestasi yang konsisten," kata Ramlan.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), ISN serta Kementerian Belia dan Sukan selain Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi, Keith Power dari Great Britain.

Setiap badan berkenaan katanya, mempunyai seorang setiausaha yang berperanan menyelaraskan segala maklumat berkaitan sebelum bermula setiap mesyuarat mengenai Program Podium.

-- BERNAMA

No comments: