Tuesday, July 14, 2015

Azizulhasni di landasan buru tiket Olimpik 2016



KUALA LUMPUR – Kejayaan merangkul pingat emas acara keirin dalam siri kedua Piala Trek Jepun, minggu lalu meletakkan pelumba basikal sensasi negara, Azizulhasni Awang kini di landasan tepat untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Rocket Pocket Man itu menyifatkan kejayaan yang diraih adalah rezeki anak keduanya yang dijangka lahir pada September ini. 

“Alhamdullilah musim ini saya bermula dengan baik dan kejayaan ini mungkin rezeki anak kedua saya yang akan dilahirkan pada September ini.

“Semestinya saya mengimpikan sebutir pingat Sukan Olimpik dapat disumbang kepada negara. Saya percaya dengan corak latihan sistematik yang direncanakan jurulatih (John Beasley) telah nampak kesannya dan segalanya berjalan dengan lancar.

“Pada pelumbaan itu, ia sangat sengit kerana ada Shane Perkins, Matthijs Buchli dan apa yang paling penting adalah saya dapat mengalahkan pemenang di Paris, Francois Pervis dari Perancis.

“Selepas pulang dari Tok­yo saya akan ke Melbourne untuk mulakan kembali latihan sebelum ke Beijing bagi menghadapi Kejohanan Grand Prix,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Melbourne, semalam.

Azizulhasni, 27, turut membawa pulang sebutir pingat gangsa di Tokyo iaitu menerusi acara pecut individu selepas tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Denis Dmitriev dari Rusia. 

Pelumba kelahiran Du­ngun, Terengganu itu adalah peme­gang pingat gangsa pada Kejuaraan Trek Dunia, Paris dan dia mahu meneruskan momentum kemenangan ini pada kejohanan Grand Prix Beijing pada hujung bulan Julai ini.

Antara pencapaian terbaik­nya tahun lalu adalah memenangi emas acara keirin Siri Piala Dunia UCI 2 di Cali, Colombia (Disember), emas Sukan Asia, Guangzhou dalam acara yang sama.

Azizulhasni turut memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam Kejohanan Trek Piala Asia ACC di Jepun, bulan lalu. 


 - UTUSAN

No comments: