Wednesday, February 18, 2015

Arie, Chia Miliki Peluang Cerah Layak Sukan Olimpik 2016

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Dua pemain golf profesional negara, Arie Ahmad Irawan dan Danny Chia mempunyai peluang cerah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Pengerusi Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata kedua-dua pemain berkenaan berkedudukan terbaik berada dalam kelompok 300 pemain terbaik dunia untuk layak beraksi pada temasya sukan tersebut.

Berdasarkan ranking rasmi terkini golf dunia, Arie berada pada kedudukan ke- 343 manakala Chia ke-399.

"Selain mereka, beberapa pemain golf profesional tempatan juga sudah mendapat tempat dalam ranking dunia. Arie dan Chia sekarang sudah meraih mata yang baik.

"Terdapat 16 lagi kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) sehingga 14 Julai tahun depan untuk memperbaiki mata ranking dunia sebelum Olimpik. Mereka perlu berusaha keras memenangi kejohanan itu.

"Dengan jumlah mata yang diperoleh, saya percaya mereka (Arie dan Chia) berpeluang cerah berada dalam kelompok 300 pemain terbaik dunia," kata Ahmad Sarji pada majlis penyampaian cek Kejohanan PGM Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) Rahman Putra, di ibu negara, Selasa.

Pemain perlu berada dalam kelompok 300 teratas dalam ranking rasmi golf dunia bagi melayakkan mereka meraih mata ranking ke Sukan Olimpik.

Daripada jumlah berkenaan, 60 pemain akan layak beraksi di Sukan Olimpik 2016, dengan maksimum dua pemain daripada setiap negara.

Antara pemain golf profesional negara yang tersenarai dalam ranking golf dunia ialah Nicholas Fung di kedudukan ke-527, Gavin Green (688), Shabaan Hussin (700), Airil Rizman Zahari (718), Wilson Choo dan Rizal Amin (736).

Sementara itu, CCM memenuhi sumbangannya berjumlah RM1 juta ke arah pembangunan bakat golf negara ini, dengan sumbangan terakhir sebanyak RM200,000 sebagai penaja utama Kejohanan PGM CCM Rahman Putra.

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 18 hingga 21 Mac di Kelab Rahman Putra Malaysia, Sungai Buloh, dan merupakan pusingan ke-10 Jelajah PGM serta kejohanan keempat dipersetujui bersama dengan Jelajah Pembangunan Asia, tahun ini.

--BERNAMA

No comments: