Tuesday, August 14, 2012

Semoga Malaysia Tidak Terus Berputih Mata Meraih Pingat Emas Olimpik

LONDON, 13 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengakhiri cabarannya di Olimpik London dengan hanya memenangi satu pingat perak dan satu gangsa melalui Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong anak Pamg.

Dua pingat yang dipungut melalui acara badminton dan terjun ini menjadikan jumlah pingat Olimpik yang dimenangi Malaysia setakat ini, tiga perak dan tiga gangsa.

Penyertaan Malaysia pada temasya sukan penuh warna-warni ini diwakili 30 atlet yang bersaing dalam tujuh acara - memanah, badminton, berbasikal, akuatik, belayar, menembak dan olahraga.

Pencapaian Malaysia kali ini sama seperti yang dicatatnya pada Atlanta 1996 apabila beregu badminton lelaki Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock memenangi pingat perak dan Rashid Sidek meraih pingat gangsa melalui acara badminton.

Pada Olimpik London, Chong Wei meraih pingat perak setelah kalah 21-15, 10-21, 19-21 kepada musuh ketatnya Lin Dan dari China, manakala Pandelela Rinong mencipta sejarah apabila muncul sebagai atlet pertama dari luar acara badminton untuk memenangi pingat gangsa melalui acara terjun platform 10 meter.

Atlet berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak ini merupakan wanita pertama yang menyumbangkan pingat Olimpik untuk Malaysia.

Pandelela, yang menjadi pembawa bendera kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan sukan ini pada 27 Julai, juga merupakan penyumbang pingat Olimik termuda untuk Malaysia.

Ketika Malaysia menyasarkan untuk meraih pingat melalui tiga acara iaitu badminton, akuatik dan berbasikal, penunggang harapan negara Mohd Azizulhasni Awang gagal mencapai tahap yang diharapkan dan pulang ke tanah air dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, kekecewaan Mohd Azizulhasni mungkin terubat melalui kejayaannya memperbaiki kedudukannya dalam acara pecut, daripada tangga kelapan pada Olimpik Beijing 2008 kepada tangga ketujuh di London dan daripada tangga ketujuh peringkat akhir keirin kepada tangga kelima.

Pujian juga patut diberi kepada Khairul Anuar Mohamad (memanah), Yu Peng Kean (lawan pedang) dan Heidi Gan (renang marathon 10km wanita) kerana kemampuan mereka mengatasi pencapaian atlet yang mempunyai ranking lebih tinggi, walaupun mereka tidak berjaya ke peringkat akhir.

Bagi atlet memanah Nur Suryani Mohd pula, keadaannya yang sarat mengandung mencipta rekod tersendiri dan tidak menghalangnya untuk mempamerkan kesungguhan ketika mengambil bahagian dalam acara 10m air rifle, walaupun tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Walaupun impian kontinjen Malaysia untuk memenangi pingat emas tidak kesampaian, namun Chef-de-Missionnya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata atlet Malaysia menjadi pesaing utama dalam perburuan pingat itu, berbeza dengan sebelum ini apabila mereka sekadar berada di pinggiran.

"Mungkin masa belum tiba untuk kita mendapatnya," kata beliau.

Biar apapun alasan yang diberi, meletakkan impian semata-mata, tidak memadai. Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara perlu membuat bedah siasat tentang pencapaian atlet Malaysia sebagai persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa selepas ini, termasuk Olimpik 2016.

Sekiranya dilihat pada rekod masing-masing, pencapaian Chong Wei dan Pandelela memang sudah diduga.

Mohd Azizulhasni pula gagal menyinar walaupun diberi peluang menjalani latihan di Melbourne. Ini menyebabkan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Naim Mohamad meletak jawatan sebagai pengerusi program pembangunan berbasikal trek.

Memandangkan Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM20 juta untuk projek 'Road to London 2012' bagi mencapai hasrat Malaysia meraih pingat emas pertama Olimpik, maka pihak berkuasa berkenaan dan Majlis Olimpik Malaysia perlu lebih teliti sebelum memilih atlet kategori B yang tidak mencapai merit untuk bertanding pada sukan Olimpik.

Sebagai contoh, Noraseela Mohd Khalid (lari berhalangan 400m wanita) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), yang dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengisi dua kuota bagi acara olahraga, mempamerkan prestasi mengecewakan dan lebih rendah daripada pencapaian terbaik mereka.

Lagipun, Noraseela tidak memperlihat prestasi memberangsangkan pada musim ini, manakala Hup Wei pula masih belum pulih daripada kecederaan.

Tetapi, kenapa mereka dipilih juga mewakili negara pada Olimpik 2012?

Persatuan sukan juga perlu bersikap tegas dalam memilih pengurus pasukan. Mereka tidak sepatutnya dipilih atas dasar mengikut giliran dan akhirnya hanya menjadi penumpang dalam kontinjen negara.

Bagaimana sekiranya Chong Wei tidak dapat menyertai Olimpik Rio De Janeiro 2016? Malaysia mungkin hilang harapan untuk memenangi satu pingat, melainkan usaha bersuangguh-sungguh dilakukan untuk melahirkan atlet baru yang mampu memenangi pingat.

Jika tidak, Malaysia akan terus berputih mata untuk meraih pingat emas di Brazil pada 2016. 'Ola' Brazil.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

1 comment:

mysunsuion@gmail.com said...

Dont worry, when Squash is in Olympic, Malaysia could earn one...

1 Gold medal for Nicol..