Menerusi satu pingat perak dan gangsa itu, Malaysia mengumpul tiga perak dan tiga gangsa dalam keseluruhan penyertaannya dalam sejarah Sukan Olimpik sejak tahun 1956 di Melbourne.
Ia tidak mengambil pada Olimpik Moscow 1980.
Di London, Malaysia diwakili 30 atlet dalam tujuh acara iaitu memanah, badminton, berbasikal, akuatik, perahu layar, menembak dan olahraga.
MEMANAH:
Recurve Berpasukan Lelaki:
Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin kalah kepada trio Mexico 211-216 di pusingan ketiga.
Recurve Individu Lelaki:
Khairul Anuar beranking 20 dunia, menyamai pencapaian Cheng Chu Sian pada Olimpik Beijing 2008, yang kedua-duanya dapat memasuki setakat peringkat suku akhir.
Khairul Anuar kalah 2-6 kepada pemanah Jepun, Takaharu Furukawa.
Haziq Kamaruddin pula terkeluar pada pusingan pertama.
Cheng Chu Sian kalah 4-6 kepada juniornya, Khairul Anuar di pusingan ketiga.
Dalam acara Recurve Individu Wanita pula, Nurul Syafikah Hashim Hashim kalah 2-6 kepada Lin Chia En dari Taiwan di pusingan pertama.
OLAHRAGA:
Kedua-dua atlet menyertai secara wild card.
Lee Hup Wei terkandas di peringkat saringan acara lompat tinggi lelaki dengan catatan 2.16m untuk menduduki tempat ke-14 dari kalangan 18 atlet.
Noraseela Khalid hanya mencatat 1 minit 00.16 saat untuk menduduki tempat terakhir dari kalangan sembilan atlet yang menyertai acara saringan 400 meter lari berpagar wanita.
PERAHU LAYAR:
Khairunnizam Mohd Afendy menduduki tempat ke-45 dari 49 pelayar dalam acara perseorangan Dinghy (Laser) lelaki.
MENEMBAK:
Ibu yang sedang mengandung lapan bulan, Nur Suryani Mohd Taibi yang merupakan atlet Malaysia pertama yang beraksi gagal mara ke pusingan akhir selepas membidik 392 poin untuk menduduki tangga ke-34 dalam acara 10m Air rifle Wanita.
AKUATIK:
Terjun:
(Wanita)
Pandelela Rinong Anak Pamg dan Leong Mun Yee menduduki tempat ketujuh dari peserta dari lapan negara setelah mengumpul 308.52 mata dalam acara akhir Terjun Seirama 10m Platform Wanita.
Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong menduduki tempat terakhir dari peserta lapan negara yang bertanding dalam acara akhir 3m Papan Anjal Wanita.
Cheong dan Ng Yan Yee masing menduduki tempat ke-20 dan ke-24 dalam pusingan awal 3m Papan Anjal Wanita.
(Lelaki)
Bryan Nickson Lomas dan Huang Qiang menduduki tempat terakhir acara 3m Papan Anjal Seirama Lelaki selepas memungut 405.09 poin untuk berada di tempat paling bawah dari peserta lapan negara yang bertanding.
Bryan tidak dapat memasuki separuh akhir 10m platform individu lelaki setelah mengumpul 434.95 poin untuk menduduki tempat ke-19.
Yeoh Ken Nee berada di tempat ke-9 dengan 437.45 poin dari 12 peserta dalam acara 3m Papan Anjal Lelaki akhir.
RENANG:
Khoo Chai Lin menduduki tempat keenam dari lapan perenang dengan catatan 8 minit, 51.18 saat dalam acara saringan 800m Gaya Bebas Wanita.
Heidi Gan menduduki tempat ke-16 dalam acara 10km Renang Air Terbuka Maraton Wanita dengan catatan 2 jam 45 saat.
BADMINTON:
Datuk Lee Chong Wei menyumbang perak setelah kalah kepada Lin Dan dari China dalam acara akhir perseorangan lelaki.
Beliau kalah 21-15, 10-21 19-21 dalam masa 79 minit untuk merangkul pingat perak kali kedua berturut-turut dalam Olimpik.
Pasangan beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong kalah 9-21, 19-21 kepada pasangan Cai Yun/Fu Haifeng dari China untuk menentukan pingat gangsa.
Perseorangan wanita Tee Jing Ye terkandas di peringkat kumpulan.
Beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying kalah kesemua perlawanan peringkat kumpulan mereka.
LAWAN PEDANG:
Pemain nombor 37 dunia, Yu Peng Kean mara ke pusingan kedua tetapi kalah kepada pemain nombor lima dunia Szilagyi Aron dari Hungary, 1-15 dalam acara sabre individu lelaki.
Beliau merupakan atlet lawan pedang kedua negara yang bertanding dalam Olimpik selepas penyertaan Ronnie Theseira dalam acara foil, epee dan sabre individu di Olimpik Tokyo 1964.
BERBASIKAL:
(Lebuhraya)
Muhamad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli diminta berhenti dari meneruskan kayuhan dalam acara 180km Lebuhraya apabila ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu perlumbaan.
Trek:
(Keirin Wanita)
Fatehah Mustafa terkeluar awal apabila gagal muncul antara tiga pelumba teratas dalam acara saringan.
Beliau hanya menduduki tempat kelima dari enam pelumba.
(Pecut Lelaki)
'The Pocketrocketman' Mohd Azizulhasni Awang menduduki tempat kelapan selepas gagal mara ke peringkat akhir sekaligus mengulangi pencapaian di Olimpik Beijing 2008 dan tersasar dari sasaran pingat.
Namun beliau membaharui rekod kebangsaan sebanyak 1.030 saat berbanding 1.1 saat di Beijing.
Dalam acara Keirin, Mohd Azizulhasni menduduki tempat terakhir dari lima pelumba.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment