
Zolkples Embong menjawab pelbagai
soalan yang dilontarkan oleh media Malaysia sehari sebelum tamat Sukan
Olimpik 2012 di London, semalam. - MINGGUAN
Zolkples menganggap pencapaian kali ini adalah yang terbaik, biarpun kejayaan meraih dua pingat - satu perak dan satu gangsa menyamai pungutan terbaik kontinjen negara di Olimpik Atlanta 1996.
Saya puas hati dengan pencapaian kita kali ini. Saya anggap sebagai yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia ke Olimpik.
Walaupun kita cuma menyamai pungutan pingat di Atlanta 1996 tetapi sejarah dicipta apabila Pandelela Rinong menjadi atlet wanita pertama memenangi pingat (gangsa).
Buat kali pertama acara terjun menjadi sukan kedua selepas badminton (berjaya dapat pingat)," katanya pada sidang akhbar di perkampungan Sukan Olimpik di sini, semalam.
Pada temasya Atlanta 1996 badminton menyumbang perak menerusi beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan gangsa daripada perseorangan, Rashid Sidek.
Menurut Zolkples lagi, memang sasaran membawa pulang emas tidak tercapai tetapi seluruh rakyat dapat menilai sendiri bagaimana atlet negara berusaha keras untuk mendapatkan kemenangan.
Kalau kita ambil kira pingat emas, sasaran memang tidak capai tetapi seluruh negara telah melihat bagaimana Datuk Lee Chong Wei memberi saingan sengit kepada Lin Dan (China). Saya anggap hari itu nasib tidak menyebelahi beliau walaupun begitu hampir.
Kalau dari segi itu mungkin kita tidak berjaya tetapi saya tidak lihat ia sebagai satu kegagalan, cuma kita belum capai sasaran emas dan kita akan usahakan pada temasya di Rio 2016," ujarnya.
Zolkples turut melahirkan keyakinan sukan lain selain badminton dan terjun, seperti memanah dan berbasikal trek mempunyai ruang untuk menyerlah.
Memang kita pernah sebut, selain badminton, sukan lain juga ada yang boleh sumbang pingat biarpun agak sukar untuk raih emas.
Kita perlu realitistik, buat masa ini hanya badminton yang mampu beri emas tetapi sukan lain tetap berpeluang.
Selepas ini kita perlu kaji apakah kelemahan program yang kita laksanakan dan tindakan yang perlu untuk memperbaikinya, katanya.
Dalam perkembangan yang sama, MSN menyifatkan peruntukan RM20 juta yang disalurkan untuk program Road to London 2012 masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran serantau.
Jelas Zolkples, disebabkan peruntukan yang kecil ini, banyak rancangan untuk mendedahkan atlet, terpaksa dipotong.
Saya dimaklumkan ada yang mempertikaikan (bajet). Sebenarnya bajet asal kita lebih rendah daripada itu. Ia bertambah apabila kita masukkan sukan bola sepak dan hoki dalam program.
Bukan untuk menang pingat tetapi cuba layak secara merit. Apa pun pandangan orang ramai tentang perbelanjaan, bagi saya jumlah (bajet) yang diperuntukkan masih kecil jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.
Mengenai pengambilan jurulatih asing seperti terjun, gimnastik, kita tidak boleh guna tenaga tempatan. Apa standard yang nak kita ketengahkan?.
Saya boleh guna bajet RM5 juta tapi jangan harap kita akan menang pingat. Bajet kita memang terlalu kecil untuk lahirkan atlet bertaraf dunia," tegas beliau.
Dalam pada itu, Zolkples akur dan menerima hakikat bahawa negara bakal kehilangan ramai jurulatih asing berwibawa yang berhijrah ke negara jiran kerana mereka menawarkan gaji jauh lebih tinggi daripada apa yang mampu MSN tawarkan.
- Mingguan
No comments:
Post a Comment