Thursday, August 9, 2012

Kaji tiket wild card

KECEWA dengan persembahan hambar atlet bertanding atas tiket wild card, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menggesa supaya tiket itu diberikan kepada mereka yang digilap untuk menyerlah pada masa depan.

Sambil menyatakan akan membuat cadangan itu dalam laporannya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ketua kontinjen negara ke London 2012 berkata, badan induk persatuan sukan kebangsaan itu perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu.

“Tiada guna kita menghantar atlet yang berada di penghujung kerjaya untuk bertanding dan kemudian menyaksikan mereka memberikan persembahan buruk.

“Lebih baik tiket wild card itu diberikan kepada atlet yang kita jangka boleh menyerlah di masa depan bagi mendapatkan pengalaman beraksi di peringkat tertinggi. Mungkin selepas ini, MOM patut mengkaji semula pemberian wild card itu,” katanya.

Tiga daripada 29 atlet yang mengambll bahagian di Olimpik ini beraksi atas tiket wild card dengan bakinya, layak secara merit. Dua daripadanya, Noraseela Khalid dan Lee Hup Wei beraksi dalam acara olahraga bagi 400m lari berpagar dan lompat tinggi lelaki manakala Khoo Cai Lin (renang) dalam 800m gaya bebas wanita.

Hup Wei hanya mampu melompat setinggi 2.16m meskipun memiliki rekod peribadi terbaik, 2.27m manakala Noraseela mencatat 1.00:16s, jauh berbeza daripada catatan rekod kebangsaannya, 56.02s. Cai Lin pula merakamkan 8:51.18s manakala rekod kebangsaannya, 8:45.36s.

Bagaimanapun, Ahmad Sarji berkata, tiket wild card itu masih tetap berguna selagi persatuan membuat pemilihan yang baik dalam menghantar atlet bertanding dan bukannya berdasarkan pilih kasih.

“Tapi, sebagai Chef de-Mission saya hanya boleh membuat cadangan, terpulang kepada MOM untuk menilainya dan saya harap mereka menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.



- HARIAN METRO

No comments: