
Bryan Nickson (kiri) bersedia menonjolkan gaya terjunan baru pada Piala Dunia Terjun FINA di London, hari ini.
KUALA LUMPUR - Penerjun negara, Bryan Nickson Lomas bersedia menonjolkan gaya terjunan baru yang merupakan paling sukar dalam disiplin 10 meter platform individu pada saingan Piala Dunia Terjun FINA di London, hari ini.
Andai berjaya melaksanakan gaya terjunan 'Inward 4 1/2 Somersault Tuck' yang membawa darjah kesukaran 4.10 dengan sempurna, maka peluangnya untuk meraih mata tinggi adalah sangat cerah.
Kejohanan berprestij seperti Piala Dunia adalah pentas terbaik buat Bryan, 21, menguji terjunan itu kerana ia dapat memberi gambaran sejauh mana peluangnya mampu bersaing merebut pingat pada Olimpik London nanti.
"Saya telah melayakkan diri ke Olimpik, jadi jurulatih memberitahu saya kenapa tidak mencuba terjunan baru di London.
"Ia baru dipelajari saya dua minggu lalu dan saya memerlukan masa untuk menguasainya. Setakat ini 'OK', namun masih lagi perlu memperbetulkan posisi sebelum membuat entri ke permukaan air.
"Terjunan ini mampu memikat juri untuk menganugerahkan banyak mata jika ia berjaya dipersembahkan dengan sempurna, sudah tentu perlu diakhiri entri yang bersih," katanya.
Bryan mungkin berjaya memecah angka 500 mata ketika meraih pingat emas Sukan SEA Indonesia, November lalu, namun kutipan mata sebanyak itu tidak akan memadai melayakkan dia bersaing untuk kedudukan podium apabila berentap dengan jaguh-jaguh dunia di Olimpik.
Mengambil contoh Kejohanan Dunia di Shanghai tahun lalu, Qiu Bo dari China merangkul emas dengan mengumpul 585.45 mata, diikuti penerjun Amerika Syarikat (544.25) dan Jerman, Sascha Klein (534.50) yang masing-masing mengutip perak dan gangsa.
Ini bermakna, Bryan harus mencecah sekurang-kurangnya 530 mata dan ia bukan tugas mudah.
Bryan sudah menempah dua tiket dalam acara individu iaitu 10m platform dan 3m papan anjal.
Slot acara platform yang merupakan acara kegemarannya, diperoleh di Piala Asia manakala tiket disiplin papan anjal pula yang tidak dijangka diraihnya di Shanghai.
Di London hari ini, pemuda kelahiran Sarawak itu mengintai rekod tiket ketiga dalam acara seirama.
Tiada penerjun kebangsaan pernah beraksi dalam tiga acara dalam satu temasya Olimpik dan Bryan berazam menjadi yang pertama.
"Ini adalah kali pertama saya akan bertanding dalam dua acara di Olimpik dan saya mahu menjadikannya lebih bermakna dengan mendapatkan tiket ketiga," ujarnya.
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment