Tuesday, February 21, 2012

Josiah hanya cedera ringan

KUALA LUMPUR - Pelumba basikal trek negara, Josiah Ng tidak mengalami kecederaan serius setelah terbabit dalam perlanggaran dengan pelumba Sweden, Eoin Mullen pada Siri Piala Dunia Klasik di London Sabtu lalu.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, perlanggaran itu menyebabkan pelumba berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan pada buku lali dan tangan kirinya bengkak akibat terhentak di atas permukaan trek.

"Syukur Josiah tidak mengalami kecederaan yang teruk. Hanya buku lali dan tangan kirinya saja yang bengkak kerana terhentak di atas trek dan juga punggung kanannya turut tercedera," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Naim, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana pelumba negara itu berada dalam keadaan baik dan telah pun diberi rawatan.

Josiah yang bersaing dalam pusingan pertama peringkat repecharge bagi acara keirin berlanggar dengan Mullen dan mengakibatkan dia terjatuh lalu gagal meneruskan saingan.





UTUSAN

No comments: