Piala Dunia Fina yang diadakan di London, 20-26 Februari ini menjadi medan terakhir untuk merebut tiket kelayakan ke Olimpik dan ia saingan penting buat atlet negara yang masing-masing tampil dengan misi tersendiri.
Lebih-lebih lagi buat Leong Mun Yee, yang belum lagi meraih sebarang tiket kelayakan ke saingan berprestij dunia itu.
“Saya sememangnya mengharapkan tuah latihan tiga minggu di Kunming untuk tampil lebih hebat di Piala Dunia Fina nanti. Ini kerana berbeza dengan rakan seangkatan, hanya saya seorang saja yang belum meraih tiket ke Olimpik.
“Piala Dunia Fina adalah penting buat saya. Sepanjang tahun lalu sehingga kini saya berlatih amat gigih bagi merealisasikan misi ke Olimpik. Saya agak tertekan kerana ketinggalan berbanding rakan lain yang kini sudah menempah kedudukan selesa, tetapi mereka semua memberi sokongan padu buat saya,” katanya selepas sesi latihan semalam.
Selain Mun Yee, skuad terjun membariskan Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas, Yeoh Ken Nee dan muka baru, Traisy Vivien Tukiet serta Ooi Tze Liang akan berlepas ke China, esok untuk menjalani latihan intensif tiga minggu bagi persediaan ke Piala Dunia Fina.
Hanya Mun Yee masih ketinggalan berbanding tiga penerjun negara yang sudah layak ke Olimpik, Bryan dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform individu, Ken Nee, 3m papan anjal individu serta Pandelela dalam acara 10m platform individu.
Bagaimanapun, Bryan, Ken Nee dan Pandelela masih mempunyai impian untuk memburu lebih banyak tiket ke London di Piala Dunia Fina nanti.
“Tetapi dalam usaha memburu misi itu, kami tidak lupakan Mun Yee. Kami yakin dia mampu lakukan yang terbaik dan berdasarkan prestasinya ketika ini, tiada masalah untuknya meraih tiket Olimpik dan sama-sama mengiringi kami ke London nanti,” kata Bryan yang menduduki tempat ke-16 dan ke-26 bagi acara 10m platform individu di Sukan Olimpik Beijing dan Athens, Greece. Kata semangat dilontar Bryan itu turut disokong Pandelela dan Ken Nee.
Mun Yee, 27, akan menyertai acara 10m platform seirama bergandingan dengan rakan baiknya Pandelela di Piala Dunia Fina bulan depan.
“Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang masalah, cuma saya baru saja berdepan kecederaan di leher dan lutut kanan dua minggu lalu,” katanya.
HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment