
Bryan Nickson Lomas (kiri) dan Pandelela Rinong menjalani rutin latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR - Ratu terjun negara, Pandelela Rinong akan menggalas tugasan berganda pada Piala Dunia Terjun FINA di London bulan depan.
Selain memastikan tiket Olimpik dalam acara 10 meter platform seirama bersama Leong Mun Yee yang mana mereka berdua adalah pasangan No. 3 dunia berada dalam genggaman, dia juga dipertanggungjawabkan untuk memburu slot 3m papan anjal individu.
Papan anjal bukanlah disiplin kegemaran Pandelela, namun ketua jurulatih, Yang Zhuliang percaya anak didiknya itu mampu mencapainya pada saingan yang menjadi pentas kelayakan terakhir Olimpik.
"Lela (Pandelela) sudah layak dalam acara 10m platform individu menerusi Kejohanan Dunia di Shanghai tahun lalu, jadi dia mempunyai ruang untuk berlatih memantapkan terjunan bagi disiplin papan anjal.
"Saya fikir ada baiknya jika dia boleh membantu Malaysia meraih kuota tambahan 3m papan anjal individu. Kita mahukan sebanyak kuota yang mungkin untuk menghantar perwakilan terbesar ke Olimpik nanti," katanya yang ditemui semalam.
Penyertaan Malaysia dalam acara tersebut selama ini diwakili sama ada Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee dan Mun Yee.
Malaysia mengintai dua slot maksimum acara ini di Piala Dunia, namun hanya pemenang pingat emas Sukan SEA XXVI Indonesia, Jun Hoong dilihat lebih berpeluang berbanding rakan sepasukan Wendy berdasarkan prestasi semasa.
Sementara Mun Yee pula tidak akan diturunkan dalam acara individu kerana Zhuliang inginkan jaguh veteran itu memfokuskan sepenuhnya dalam acara platform seirama yang gandingannya dengan Pandelela dilihat paling berpotensi untuk mencipta kejutan menaiki podium di Olimpik.
Pandelela, biarpun jarang beraksi dalam acara papan anjal sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sememangnya menjadi sandaran terbaik.
Pada temasya Olimpik Remaja Singapura 2010, Pandelela berjaya membawa pulang dua perak dan salah satunya ialah acara 3m papan anjal indvidu.
Sebanyak 12 slot acara terbabit telah pun diisi pada Kejohanan Dunia Shanghai dan dua lagi dimiliki juara Ocenia dan Eropah, justeru masih ada baki 20 tiket untuk direbut bulan depan.
Turut berpeluang cerah layak ke temasya London 2012 adalah Traisy Vivien Tukiet (10m platform wanita individu) dan Ooi Tze Liang (10m platform lelaki individu).
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment