Tuesday, September 6, 2011

Prospek setahun menjelang Olimpik 2012 tidak mencapai apa yang dihajati

SAYA telah memberi ulasan secara ringkas mengenai tiga atlet yang disebut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mampu membawa pulang pingat khususnya pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik London 2012.

Atlet yang terakhir diduga mampu memenangi pingat termasuk pingat emas di Sukan Olimpik tahun hadapan ialah Azizulhasni Awang iaitu pelumba pecut yang tidak asing lagi.
Sesungguhnya Azizulhasni telah melonjakkan sukan lumba basikal negara khususnya dalam acara trek yang telah diterokai dahulunya oleh pelumba-pelumba seperti Allahyarham Daud Ibrahim, Rosman Alwi dan M. Kumaresan.

Azizulhasni telah dinamakan sebagai mempunyai potensi di London tahun hadapan kerana kejayaannya dalam sirkit lumba basikal dunia.

Seramai enam pelumba acara trek telah dinamakan dalam program Road to London 2012.
Rizal Tisin terpaksa melupakan hasrat beliau untuk bersaing pada Sukan Olimpik dan sekarang menumpukan ke acara basikal bukit.

Pada pandangan saya, hanya Azizulhasni yang mampu bersaing di London manakala pelumba-pelumba lain dalam program, tidaklah mempunyai harapan berdasarkan prestasi semasa mereka kecuali layak bertanding di temasya sukan empat tahun sekali itu.

Kita belum lagi dapat melihat kemampuan beliau bertanding selepas daripada kecederaan yang menimpanya tidak lama dulu.

Kita harap beliau akan dapat memperhebatkan lagi prestasinya, lebih baik dari sebelum beliau mengalami kemalangan yang cukup mencabar semangat sesiapa yang mengalaminya.

Dalam masa setahun menjelang London 2012, saya hanya nampak Datuk Lee Chong Wei sahaja yang mempunyai potensi sebenar untuk mencabar pingat emas.

Mujurlah kita mempunyai masa tidak sampai setahun ini yang wajib digunakan sepenuhnya oleh semua pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan atlet Program Road to London 2012.

Apa pun hujah yang diberikan dengan kegagalan Lee Chong Wei atau lain-lain atlet dalam program berkenaan hanyalah satu cubaan untuk memberi justifikasi program dan perbelanjaan yang telah digunakan.
Barang diingat, negara lain termasuk juga negara China dalam sukan badminton akan bersedia untuk melatih atlet masing-masing supaya dapat memenangi pingat emas.

Dalam kebanyakan hal tahap persediaan mereka lebih baik dari kita.
Pada pandangan saya, jumlah atlet yang dinamakan dalam program ini adalah besar.
Saya tidak mengatakan ia tidak boleh dilakukan tetapi dengan jumlah yang ramai itu maka perbelanjaan yang perlu disediakan adalah besar juga.

Saya dimaklumkan anggaran perbelanjaan yang disediakan adalah sekitar RM26 juta.
Atlet menembak yang mempunyai lima anggota dalam program ini masih lagi belum layak walaupun telah bertanding pada banyak pertandingan antarabangsa.

Kalaulah saya diberi peluang, saya hanya menamakan seorang penembak sahaja yang benar-benar layak menganggotai program ini.

Bagi sukan bola sepak dan hoki, misi utama mereka adalah untuk layak ke London bagi mengulangi kejayaan masing-masing pada tahun 1980 Moscow dan pada Sukan Olimpik Sydney 2000.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: