Oleh Norbakti Alias
Langkah awal yakinkan ibu bapa bahawa sukan adalah satu kerjaya
SIAPAKAH atlit negara yang bakal menjadi menjadi jutawan Olimpik pertama negara untuk menerima wang ganjaran RM1 juta yang ditawarkan untuk pingat emas di temasya empat tahun sekali itu.
Dalam tempoh 38 hari lagi, akan bermula temasya sukan terbesar dunia dan sepanjang 15 hari pertandingan, akan terjawab penantian itu dan jika gagal, kita terpaksa menunggu empat tahun lagi di kota London dan andai masih gagal, tambahan empat tahun lagilah maksudnya, dan begitulah seterusnya.
Sepanjang pembabitan kontinjen negara di Sukan Olimpik, Malaysia hanya berjaya memungut satu perak menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan dua gangsa, masing-masing menerusi pasangan Razif-Jalani Sidek (Barcelona 1992) dan Rashid Sidek (Atlanta 1996).
Sejak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan imbuhan RM1 juta itu pada 24 Jun lalu, pelbagai reaksi yang penulis dengar - ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mempersoalkan imbuhan selumayan itu.
Paling ketara, mengapa perlu beri ganjaran besar ketika hampir semua atlit sekarang khususnya yang layak ke Sukan Olimpik menerima elaun atau dalam erti kata lain, masih ditanggung kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
Penulis mahu melihat ini secara positif. Langkah itu wajar dilihat sebagai titik permulaan untuk menjadikan sukan satu kerjaya yang kukuh.
Maksud penulis apabila ada pihak sudah nampak sukan mampu menjanjikan masa depan yang baik, harapnya akan tampil ramai golongan profesional yang sanggup menguruskan persatuan sukan kebangsaan seperti sebuah badan korporat.
Dengan cara itu, baru persatuan sukan dapat berdikari mencari sumber kewangan sendiri, bukan seperti ketika ini yang banyak bergantung kepada bantuan MSN kerana pegawai persatuan sedia ada lebih berselindung atas tiket sukarela yang sebenarnya lebih berkepentingan untuk bergeser bahu dengan golongan VIP.
Bagi penulis, atlit negara tidak wajar dibuat sebagai robot atau setakat satu watak dalam sukan sahaja yang hanya dipuja ketika berjaya tapi dikutuk apabila gagal.
Mungkin mereka lupa, atlit juga manusia biasa yang perlu mencari makan untuk diri sendiri dan keluarga. Mereka juga ada keinginan untuk merasai kemewahan - sesuatu yang belum dijanjikan dalam sukan tempatan.
Tidak ramai yang sedar, ada atlit yang terpaksa mengorbankan pelajaran atau pekerjaan mereka semata-mata mahu menyumbang tenaga untuk menghidupkan sukan negara yang kian sukar mendapatkan bakat baru kerana masih ada ibu bapa yang memikirkan sukan tidak menjanjikan masa depan yang cerah.
Ada antara atlit ini yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, sanggup menangguh hasrat ke menara gading kerana sedar karier dalam sukan tidak mampu ditangguhkan manakala yang sudah bekerja, terpaksa melupakan peluang kenaikan pangkat berikutan sering mengambil cuti untuk menyertai latihan mahu pun pertandingan.
Jadi, salahkah atlit ini untuk menerima ganjaran itu - sesuatu yang sebenarnya tidak begitu mudah dicapai. Lagipun untuk layak ke Sukan Olimpik yang empat tahun sekali itu pun bukan mudah.
Bagi penulis, ganjaran RM1 juta - sesuatu yang pernah disebut bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa pada 1992 dulu - sebenarnya wajar dilihat sebagai pencetus tarikan untuk ibu bapa agar melihat sukan sebagai satu kerjaya buat anak-anak mereka.
Menerusi imbuhan itu, mereka yang berjaya akan terjamin masa depan dan harap ibu bapa yang lain mampu membuka mata dan sedar akan peluang yang ada untuk anak mereka.
Apa tidaknya, untuk pingat gangsa Olimpik yang bernilai RM100,000, seseorang atlit yang berusia 25 tahun mampu mendapat hampir RM1 juta jika dicampur dengan pencen RM2,000 sebulan sehingga usianya 60 tahun - angka yang pasti meningkat jika usianya masih panjang.
Bagi tempoh sama, RM1.6 juta mampu dikumpulkan untuk pemenang pingat perak iaitu RM3,000 pencen sebulan dan imbuhan RM300,000 manakala RM3.1 juta menanti bagi pemenang emas yang merangkumi imbuhan RM1 juta serta pencen RM5,000 sebulan.
Pemberian ganjaran untuk Sukan Olimpik sebenarnya bukan baru malah Singapura sendiri menawarkan S$1 juta (RM2.4 juta) untuk emas di temasya itu.
Mungkin di negara maju tidak menawarkan imbuhan seperti itu kecuali Korea Selatan yang memberi pencen AS$1,000 sebulan untuk pemenang pingat emas. Tapi, atlit negara maju punya peluang menjadi duta produk di mana penaja mereka menyediakan bonus tambahan untuk kejayaan di kejohanan utama.
Jadi, jangan dipertikaikan imbuhan disediakan kerana pengorbanan atlit lebih besar malah apa yang dijanjikan untuk mereka terlalu kecil dibandingkan dengan hadiah yang dianggap jauh lebih lumayan disediakan untuk rancangan hiburan realiti yang hanya memakan masa beberapa bulan sahaja.
Mungkin ibu bapa sekarang lebih senang anak-anak mereka terbabit dengan dunia hiburan berbanding sukan kerana ia lebih glamour dan tidak perlu berdepan kecaman secara langsung daripada peminat sukan.
Fikirlah.
No comments:
Post a Comment