Friday, July 11, 2008

Prestasi Hasli Konsisten Menjelang Sukan Olimpik, Kata Jurulatih

LANGKAWI, 10 Julai (Bernama) -- Prestasi penembak negara Hasli Izwan Amir Hassan semakin konsisten dan mampu memberi saingan kepada penembak-penembak bertaraf antarabangsa pada Sukan Olimpik Beijing bulan depan.

Penilaian terhadap peningkatan prestasi penembak berusia 30 tahun itu telah memuaskan hati jurulatih kebangsaan Mohd Hashim Md Desa yang yakin anak buahnya itu dapat mengekalkan prestasi sepanjang temasya itu dari 8 hingga 24 Ogos ini.

Mohd Hashim hari ini berkata Hasli perlu menguatkan semangat dan memperkukuhkan ketahanan mental untuk memberi tentangan kepada peserta lain dalam usaha melayakkan diri ke pusingan akhir.

Selaku penembak tunggal negara ke Sukan Olimpik, katanya, Hasli mempunyai keupayaan untuk melakukan kejutan dengan melepasi pusingan kelayakan dan jika nasib menyebelahinya, maka ada peluang untuk meraih sebutir pingat.

Hasli layak ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Asia di Kuwait akhir tahun lepas dengan mengumpul 581 mata, sekaligus memperbaharui rekod kebangsaannya sendiri berbanding catatan lama 579 mata dua tahun lepas.

Penembak dari Ipoh, Perak itu kini mengikuti latihan peringkat akhir di Lapangan Sasar Antarabangsa Langkawi (Lisram) di sini dari 4 hingga 31 Julai ini bersama pelatih kebangsaan Ridhuan Mohamad.

Mohd Hashim berkata latihan di Lisram penting kerana mempunyai sistem elektronik sama dengan lapang sasar Sukan Olimpik di Beijing.

Hasli berpengalaman beraksi di semua peringkat kejohanan termasuk Piala Dunia di Jerman Jun lepas dengan mencatatkan tembakan 572 mata.

Sebagai pemanas badan, Hasli dijangka menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebelum melangkah kaki ke Beijing.

-- BERNAMA

No comments: