Thursday, July 10, 2008

Mew Choo dapat motivasi baru menjelang Olimpik


MEW CHOO menjadi sandaran utama negara dalam acara perseorangan wanita pada Sukan Olimpik di Beijing bulan depan.


LATIHAN selama dua hari di Genting Highlands berjaya membantu memulihkan semangat ratu badminton negara, Wong Mew Choo menjelang Sukan Olimpik di Beijing bulan depan.

Menurut Mew Choo, latihan yang berakhir semalam itu merupakan sebahagian daripada strategi jurulatihnya, Misbun Sidek sebagai persiapan untuk menghadapi temasya paling berprestij di dunia itu.

"Hari ini (semalam) kami baru sahaja pulang daripada menjalani latihan selama dua hari di Genting Highlands," kata Mew Choo kepada Kosmo! semalam.

"Meskipun hanya dua hari, namun saya dapat rasakan ia merupakan idea yang cukup bagus kerana latihan di Genting agak berlainan dengan latihan di Bukit Jalil.

"Cuaca di sana lebih sejuk dan lebih segar secara tidak langsung dapat menenangkan fikiran.

"Selain itu, kami juga dapat membiasakan diri dengan pertukaran cuaca. Saya rasa lebih bersemangat selepas pulang dari Genting."

Selain Mew Choo, semua pemain yang menjalani latihan bersama Misbun turut dibawa ke Genting Highlands termasuk pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Chong Wei, Kuan Beng Hong, Muhd. Roslin Hashim serta pemain-pemain pelapis negara.

Dalam pada itu, Mew Choo yang juga pemain ranking kesembilan dunia, mengakui dia lebih selesa beraksi sebagai pemain bukan pilihan di Beijing.

Meskipun pernah mencatat sejarah sebagai pemain wanita pertama negara yang meraih kejayaan di bumi China pada Kejohanan Terbuka China tahun lepas, Mew Choo sedar dia tidak memiliki sebarang kelebihan apabila acara badminton Sukan Olimpik berlangsung pada 9 hingga 17 Ogos ini.

"Kejayaan Terbuka China merupakan kejayaan tahun lepas dan ia tidak boleh dijadikan sebagai satu kelebihan," kata pemain Perak berusia 25 tahun itu.

"Tambahan pula, Sukan Olimpik diadakan di gelanggang berbeza dan bagi saya, hanya pemain-pemain China sahaja yang memiliki kelebihan kerana mereka akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Namun, saya tidak kesah diletakkan sebagai pemain bukan pilihan kerana saya tidak perlu rasa tertekan dan saya sendiri tidak ingin menanggung tekanan sebelum beraksi."

Mew Choo juga menjelaskan dia sama sekali tidak kesah dengan undian yang akan diadakan pada 26 Julai ini.

"Sebagai pemain, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal undian dan saya harus terima siapa sahaja yang akan saya temui," kata Mew Choo.

"Apa yang lebih penting, saya telah benar-benar bersedia dan cuba berikan aksi terbaik di Beijing."

No comments: