KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan bahawa atlet angkat berat negara Amirul Hamizan Ibrahim akan ditemani oleh jurulatihnya Xii Xui Hui ketika beraksi di Olimpik Beijing pada 9 Ogos ini.Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata atlet angkat berat negara itu akan turut diiringi seorang pengurus pasukan.
"Amirul tidak lagi keseorangan kerana beliau akan ditemani oleh jurulatih dan saya telah pun memaklumkan perkara ini kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM)," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis penyerahan kasut sukan yang ditaja oleh syarikat pengeluar kasut, BATA, kepada atlet Olimpik negara di sini hari Selasa.
Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Lt Komander Suhaimi Khamis berkata beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Amirul."Setelah dimaklumkan perkara ini, Amirul kini kembali bersemangat untuk meneruskan latihannya ke Olimpik," katanya ketika dihubungi oleh Bernama.
Amirul kini berada pada tempat 15 teratas dalam kedudukan dunia dan pernah memenangi tiga pingat emas ketika beraksi dalam temasya Sukan Komanwel di Manchester pada 2002.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment