sham@bharian.com.my
Hilang tumpuan hancurkan impian buru emas Olimpik
"TURUN ke gelanggang dan cuba lakukan yang terbaik serta elak daripada sebarang tekanan."
Itulah yang menjadi azimat buat pemain beregu veteran negara, Lee Wan Wah yang membuat penampilan Olimpik ketiga untuk dirinya, yang turut mahu dikongsi bersama pemain muda yang lain menjelang temasya di Beijing yang bermula 8 Ogos ini.
“Elakkan daripada berasa tertekan ketika turun ke gelanggang dan tumpukan perhatian kepada permainan. Lupakan dulu segala perkara lain kerana hilang tumpuan menghancurkan impian negara meraih emas pertama di Olimpik.
“Malah, ketika bermain, pemain seharusnya tidak terganggu apabila melakukan sebarang kesilapan memberi mata mudah kepada lawan. Mereka harus sentiasa tenang dan pantas menyesuaikan keadaan serta kembali kepada permainan biasa mereka,” katanya.
Beliau yang menafikan hilang ‘mood’ menyertai latihan selepas menghilang diri daripada kem latihan kelmarin, menegaskan betapa dirinya mengutamakan kecergasan dan berusaha mengelak daripada sebarang kecederaan.
“Jadi hari ini (semalam), saya kembali dengan lebih segar dan cergas,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.
Ditanya mengenai ganjaran RM1 juta yang ditawarkan kerajaan selain pencen RM5,000 sebulan andai berjaya membawa pulang pingat emas, Wan Wah berkata, insentif itu tidak menjadi tumpuannya.
“Bagi saya, nama negara lebih utama dan insentif akan datang kemudian,” katanya yang hanya mara ke suku akhir pada Sukan Olimpik Athens 2004.
No comments:
Post a Comment