Wednesday, July 30, 2008

China Sediakan Kemudahan Bertaraf Enam Bintang, Kata Dr. Kelvin Lim

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pelayar negara Dr Kelvin Lim, yang menjadi atlet Olimpik negara pertama yang tiba di China menyifatkan kemudahan penginapan dan infrastruktur di Qingdao begitu selesa dan bertaraf enam bintang.

Perkara itu dinyatakan dalam e-mailnya kepada Chief de Mission negara Datuk Ho Kok Chye yang memuji kemudahan penginapan dan infrastruktur bagi atlet di Qingdao setelah tiba semalam dengan ditemani dua anggota sekretariat Olimpik.

"Daripada makluman yang saya perolehi, segala kemudahan yang disediakan oleh penganjur adalah amat memuaskan dan saya harap kita tidak akan menghadapi banyak masalah apabila berada disana nanti," kata Ho kepada pemberita di sini hari ini.

Olimpik Beijing bulan depan merupakan penampilan keempat bagi Kelvin Lim dalam acara sukan pelayaran.

Ho berkata rombongan kedua atlet Olimpik negara yang terdiri daripada atlet renang, terjun dan memanah dijadualkan bertolak pada 3 Ogos ini diikuti dengan rombongan ketiga yang melibatkan skuad badminton negara pada 5 Ogos ini.

"Setakat ini kita tidak mempunyai masalah dan semua persiapan logistik berjalan dengan lancar, "katanya.

-- BERNAMA

No comments: