Friday, June 27, 2008

Amirul Jalani Latihan Persiapan Olimpik Di China

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Amirul Hamizam Ibrahim, kini menjalani latihan intensif di Pulau Hainan, China sebagai persiapan terakhir sebelum menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Lt Komander Suhaimi Khamis berkata Pulau Hainan adalah lokasi yang sesuai kerana ramai atlet angkat berat terkemuka dunia termasuk skuad angkat berat Olimpik Thailand, Taiwan dan China turut menjalani latihan akhir di sana.

"Saya percaya dengan latihan ini, Amirul mampu memperbaiki rekod angkatannya sebelum ini.

"Berdasarkan rekod kedudukan semasa, Amirul kini berada di tangga ke-12 terbaik dunia. Saya percaya bahawa di Beijing nanti Amirul mampu berada di kedudukan kelompok tujuh terbaik," katanya ketika dihubungi Bernama, hari Khamis.

Suhaimi berkata mereka perlu bersikap realistik bahawa adalah agak sukar untuk memperoleh sebarang pingat di Sukan Olimpik Beijing, namun sekiranya Amirul dapat meraih sebarang pingat, ia adalah satu bonus.

Amirul akan bertanding dalam kategori 56 kilogram pada temasya Sukan Olimpik Beijing nanti.

Turut menjalani latihan intensif di Pulau Hainan ialah lima orang atlet elit angkat berat negara termasuk tiga atlet wanita iaitu Naharuddin Mahayuddin (62kg), Mohd Fairol Talib (69kg), Raihan Yusof (53kg), Zairah Zakaria (48kg) dan Farhanah Johari (63kg).

Kelima-lima atlit elit ini ke Pulau Hainan sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Remaja Komanwel yang akan berlangsung di Penu, India bermula pada 12 Okt depan.

-- BERNAMA

No comments: