Terpaksa pikul tanggungjawab perseorangan kedua negara di Piala Thomas
ANGKARA Sukan Olimpik, Piala Thomas ibarat dipaksa sengsara apabila perancangan untuk tonggak veteran, Wong Choong Hann lebih menjurus kepada 'menikmati gembira aksi di Beijing dan melupakan keghairahan gelora' di Jakarta, bulan depan.
Kesimpulan itu terjelma mudah apabila diakui betapa peluang Choong Hann - kini bakal menjawat tanggungjawab selaku pemain perseorangan kedua negara pada Piala Thomas di Jakarta pada 11 hingga 18 Mei nanti - nyata sukar berbanding jika kekal menghuni posisi ketiga.
Di posisi ketiga, Choong Hann mampu diharapkan untuk menghasilkan satu mata dalam pertentangan genting menentang lawan handal daripada China dan Indonesia kerana punya jurang kelebihan hampir tiada dengan pemain di posisi sama seperti Chen Jin dan Simon Santoso.
Lain pula ceritanya selaku perseorangan kedua kerana Bao Chunlai untuk China dan Sony Dwi Kuncoro sebagai pemain kedua Indonesia - nyata dua lawan yang ibarat punya kelebihan psikologi terhadap Choong Hann.
Situasi itu diakui jurulatihnya, Wong Tat Meng, yang bagaimanapun meletakkan sasaran mengejar kemunculan pada temasya Sukan Olimpik keduanya selaku misi lebih penting buat Choong Hann.
"Memang jika boleh, lebih baik untuk Choong Hann selaku perseorangan ketiga pada Piala Thomas dan turut beraksi pada Sukan Olimpik. Tetapi dengan hanya dua tiket ke Sukan Olimpik, segala persiapan sebelumnya lebih terarah kepada matlamat itu.
"Kini tempatnya sudah terjamin, tetapi akan pula menjadi perseorangan kedua. Ia memang situasi serba salah. Tetapi saya tidak pernah meragui kesungguhan Choong Hann dan biarpun mengakui ranjau menanti nampak sukar, dia pasti akan berusaha sedaya upaya," kata Tat Meng.
Choong Hann pernah beraksi selaku perseorangan ketiga ketika pusingan akhir Piala Thomas di Jepun, dua tahun lalu, namun sumbangan tersekat di suku akhir selepas mengalami kecederaan yang menyaksikannya tersisih lebih enam bulan daripada medan aksi.
Namun sedikit demi sedikit, Choong Hann berjaya meniti kebangkitan untuk memintas Hafiz Hashim selaku pemain kedua negara selain mengetepikan saingan Lee Tsuen Seng untuk menjamin tempat ke temasya di Beijing nanti.
"Setakat ini, segalanya nampak baik. Dia bebas daripada kecederaan. Malah Choong Hann kini pada situasi di mana dia kian hampir mendapat segala corak dan kemahiran yang dimahukannya selepas mencuba sejak sekian lama.
"Lagipun, tiada tekanan untuknya apabila di Beijing nanti. Sebaik tamat tugasan di Jakarta, Choong Hann akan ke Sukan Olimpik untuk menikmati pengalaman beraksi sekali lagi dan siapa tahu, tanpa dibebankan harapan dan tekanan, dia mampu mencipta kejutan nanti," kata Tat Meng.
No comments:
Post a Comment