![]() |
Limpahan wang menanti jika raih emas di Beijing
APAKAH Sukan Olimpik Beijing 2008 ini akan menyaksikan jutawan segera atlit negara buat pertama kali?
Inilah senario yang tidak dapat diketepikan jika kata-kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong (gambar) dijadikan rujukan apabila mendedahkan insentif bagi atlit yang memenangi pingat terutama emas di Beijing mungkin berlipat kali ganda berbanding RM160,000 yang ada sekarang.
Walaupun enggan menyatakan angka sebenar tetapi ia cukup menerbitkan ramalan bahawa jumlah yang ditawarkan itu mungkin tidak jauh daripada apa yang bakal dinikmati atlit dua negara jiran, Singapura dan Indonesia iaitu hampir RM1 juta.
“Memang ada cadangan untuk menambah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) terutama sekali untuk Sukan Olimpik Beijing ini bagi kemenangan pingat emas,” kata Zolkples. “Cadangan jumlah itu sebenarnya sudah dipertimbangkan tetapi ia perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Lembaga MSN.”
Ditanya apakah jumlah yang dimaksudkan itu mencecah sehingga RM1 juta, Zolkples berkata: “Terpulang kepada anda untuk meneka tetapi apa yang pasti ia lebih daripada angka yang ada sekarang dalam Shakam untuk kemenangan emas Olimpik.
“Ganjaran besar ini bertujuan untuk menyuntik semangat atlit negara dalam mengejar kegemilangan Olimpik,” katanya.
Sebelum ini, sudah ada cakap-cakap mengenai perlunya untuk meningkatkan insentif kepada atlit terutama sekali untuk Sukan Olimpik dengan jumlah sekarang - RM160,000 (emas), RM80,000 (perak) dan RM40,000 (gangsa) - dianggap agak kecil.
Dengan kemenangan pingat Olimpik, terutama emas adalah tanda kegemilangan sukan kepada sesebuah negara, insentif besar pastinya dapat merangsang semangat atlit memastikan kejayaan.
Langkah MSN itu, bukan pertama kali diambil, malah kerajaan pernah menawarkan RM250,000 termasuk sumbangan pihak swasta bagi atlit yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya Barcelona 1992.
Pemberian ganjaran kepada atlit yang memenangi pingat di Olimpik bukan sesuatu yang aneh kerana sudah menjadi satu kebiasaan dengan kebanyakan negara di dunia mempunyai skim masing-masing.
Berada dalam senarai teratas ialah Singapura yang menjanjikan S$1 juta (RM2.2 juta) kepada atlit yang memenangi emas, manakala Indonesia pula dilaporkan menawarkan AS$200,000 (RM624,000) bagi kejayaan sama.
Selain itu, gergasi sukan dunia, Russia juga menawarkan insentif yang lumayan. Selain daripada wang tunai AS$50,000 (RM156,000) untuk emas, atlit juga bakal menikmati bonus tambahan daripada syarikat swasta antaranya rumah serta kereta yang semuanya bernilai AS$500,000 (RM1.56 juta).
Negara kelahiran Olimpik, Greece, pula menawarkan atlitnya AS$277,000 (RM864,000) untuk emas, AS$130,000 (RM405,600) perak dan AS$70,000 (RM218,000) untuk gangsa.
BH
No comments:
Post a Comment